Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan berkata pasukannya hanya memerlukan satu mata lagi untuk layak ke Liga Super musim depan selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 2-1 pada aksi Liga Perdana di di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), dekat sini, semalam.

Devan berkata, walaupun NSFC sudah menghimpun 35 mata dan berbaki dua lagi perlawanan namun pencabar utama adalah KCFC yang berbaki enam perlawanan lagi.

Secara matematik NSFC belum lagi layak ke Liga Super walaupun menang 2-1 menewaskan Kuching City. Ini kerana jika Kuching City menang baki enam perlawanan dan kami pula gagal kutip mata pada dua perlawanan, pungutan mata akan sama iaitu 35 mata.

Oleh itu kami perlu satu mata lagi untuk layak apabila berdepan Sarawak United pada 10 September. Malah kami bukan sahaja membvru slot ke Liga Super tapi mengintai peluang untuk memintas Sarawak United dan jika ada rezeki tidak mustahil muncul juara liga.

“Jika kami menang ke atas Kelantan FC, tempoh hari bukan sahaja slot ke Liga Super sudah dinoktahkan malah mampu memintas Sarawak United. Tapi nasib tidak menyebelahi kami selepas tewas 1-2,” katanya.

Mengulas kemenangan ke atas skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim, Devan jelas gembira dengan komitmen barisan pemainnya walaupun pada babak pertama mereka beraksi dengan baik namun pada babak kedua tampak keletihan.

“Awal permainan kita mencipta jaringan dan kemudian Kuching City bangkit menyamakan kedudukan dan situasi itu menyukarkan kita kerana beraksi dengan corak permainan kompak tapi pada babak kedua menerusi `set-piece’ kita menjaringkan gol dan ia kekal sehingga tamat perlawanan,” kata Devan

Sementara itu, Irfan Bakti jelas kecewa dengan kegagalan pemainnya memberi sepenuh tumpuan sehingga memberi ruang buat NSFC mencipta kemenangan.

“Kecewa bukan kerana tewas tapi sejak kami beraksi pada tiga perlawanan kami beri lima gol yang mudah buat pasukan lawan dan semuanya berpunca daripada jaringan `set-piece’.

sumber: BH

“Kami ada baki enam perlawanan lagi dan perlu menang untuk meraih slot ke Piala Malaysia. Walaupun pemain tampak keletihan berikutan mengharungi jadual yang padat tapi mereka perlu fokus dan menamatkan saingan liga,” kata Irfan Bakti.