Sukan

Keputusan berkuat kuasa hari ini

Sabah FC mengambil keputusan drastik merehatkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan kemerosotan prestasi pasukan itu, berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu ada kaitan dengan kegagalan pengendali dari Indonesia itu membawa kemenangan kepada pasukan terutama sepanjang pusingan kedua Liga Super.

Pengurus pasukan, Marzuki Nasir berkata, pihak pengurusan sangat kecewa dengan prestasi hambar skuad Badak itu selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir.

“Setakat ini semua kebajikan pemain dan pegawai pasukan sentiasa dijaga serta diberi perhatian sewajarnya oleh pihak pengurusan Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, Kurniawan akan direhatkan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sepanjang tempoh itu, katanya tempatnya akan diambil alih penolong jurulatih, Burhan Ajui, manakala bekas jurulatih Sabah, Jelius Ating dilantik sebagai penolong pengurus yang baharu.

“Kita yakin pengalaman yang dimiliki kedua-dua mereka ketika bersama-sama pasukan bola sepak Sabah sejak 2017.

“Ini sudah tentu akan dapat membantu skuad Badak dalam mengharungi baki perlawanan sekali gus terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya.

Marzuki turut berharap agar semua pihak khususnya penyokong sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Sabah FC bagi mengembalikan prestasi cemerlang pasukan dalam tempoh terdekat.

Sabah FC hanya mampu melakar tiga keputusan seri dalam tujuh perlawanan sepanjang pusingan kedua Liga Super yang bermula bulan lalu.

Malah, Sabah mencatat kekalahan 3-0 di gelanggang sendiri ketika berdepan Penang FC pada 22 Ogos lalu dan dibelasah 4-0 ketika men3ntang UiTM FC di gelanggang lawan, malam tadi.