Sukan

Secara Matematik masih ada Peluang

Selangor FC meletakkan sasaran tiga mata dalam usaha mendaki carta Liga Super menjelang aksi penting bertemu Melaka United di Stadium MB Petaling Jaya malam ini.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel optimis momentum empat kemenangan berturut-turut yang dicatatkan oleh pasukan dapat diteruskan pada aksi bertemu skuad Hang Jebat itu nanti.

Kata Neitzel, prestasi yang dipamerkan oleh pasukan sepanjang bulan ini cukup positif selepas berjaya meraih kemenangan bergaya ke atas Penang FC, UiTM FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Perak FC.

Saya lihat prestasi pasukan semakin baik menuju ke penghujung saingan liga dan saya percaya pada baki tiga perlawanan ini, apa sahaja boleh berlaku dan pasti ada perubahan dalam carta liga.

Sasaran kami adalah jelas iaitu mahu mengutip tiga mata ke atas Melaka United dalam usaha menamatkan kedudukan musim ini di tempat terbaik.

“Secara matematik, perebutan (tangga kedua) masih terbuka walaupun KDA FC memiliki kelebihan beberapa perlawanan tetapi apa yang mustahak, kita fokus dengan perlawanan sendiri,” katanya.

Sementara itu, striker muda Selangor, Ahmad Danial Ahmad Asri mahu meneruskan momentum jaringan pada aksi bertemu skuad Zainal Abidin Hassan itu nanti.

“Saya gembira dapat memecah kebuntuan jaringan ketika men3ntang Penang FC dan KDA FC sebelum ini. Dua gol tersebut membuatkan saya lebih bersemangat untuk menajamkan sentuhan penyudah pada tiga aksi akan datang,” katanya.