Sukan

Peluang KDA FC makin Cerah

Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus melebarkan rekod kemenangan selepas berjaya menewaskan Perak FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.

Kemenangan kali keempat berturut-turut ini sudah pasti mencerahkan peluang untuk skuad Hijau Kuning yang kini mengumpul 38 mata dalam misi merebut tempat kedua Liga Super musim ini selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan, semalam.

Bagi Perak FC pula, kekalahan kali kelima berturut-turut ini pastinya pahit untuk ditelan kerana kekal berada dalam kelompok dua pasukan tercorot selepas 20 perlawanan berlangsung.

Striker utama Kedah, Kpah Sherman bertindak cemerlang apabila meledak gol sulung buat tuan rumah melalui tandukan pada minit ke-19 sekali gus menewaskan penjaga gawang pelawat, Azri Ghani selepas mendapat hantaran daripada Kipre Tchetche.

Peluang tuan rumah untuk menambah gol hampir menjadi kenyataan pada minit ke-22 apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti selepas Kpah Sherman dijatuhkan oleh Azri.

Namun, peluang keemasan itu gagal dimanfaatkan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar apabila sepakannya terkena tiang gol dan susulan percubaan yang dilakukan oleh Kpah Sherman kemudian dinafikan palang.

Perak FC cuba bangkit melakukan beberapa s3rangan pantas bermula dari bahagian tengah mencari penyerang utamanya, Nana Poku namun usaha skuad Bos Gaurus itu gagal menghasilkan sebarang penyudah hingga tamat babak pertama.

Perak FC cuba memberi tekanan sebaik babak kedua bermula dengan percubaan Nana Poku dalam kotak penalti, namun Ifwat Akmal lebih bersedia menepis bola.

Minit ke-66, Rizal Ghazali berjaya membuat larian sebelum menewaskan Azri, namun gerakannya itu terlebih dahulu dikesan ofsaid.