Sukan

Lihat saja kepada pemain JDT

Pemilihan pemain berdasarkan minit permainan sememangnya satu tindakan yang wajar, namun ia sukar dilaksanakan khususnya membabitkan pemilihan bagi mengisi beberapa posisi kritikal dalam skuad Harimau Malaya.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, B Satianathan mengakui dia senada dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai pemilihan pemain dibuat mengikut minit permainan, namun senario Liga Malaysia (Liga M) memberi cabaran besar kepada barisan kejurulatihan.

(Cadangan) itu ada yang boleh dan ada yang susah sedikit. Memang kita perlu mencari pemain berdasarkan minit permainan tetapi cuba kita lihat beberapa posisi krit!kal seperti striker, perancang dan pertahanan tengah.

Posisi ini kebanyakannya didominasi pemain import jadi pemain tempatan kita memang kurang minit. Di bahagian penyerang pun kita lihat siapa yang menerajui senarai penjaring terbanyak? Ini satu cabaran yang besar untuk kita mencari striker yang ada banyak minit permainan.

“Tetapi kalau di Eropah, kadang-kadang ada pemain itu kurang minit bersama kelab tetapi tetap dipanggil bersama skuad kebangsaan, contohnya seperti Olivier Giroud. Saya bersetuju dengan Hamidin tetapi saya lihat beberapa kekangan akan dihadapi barisan kejurulatihan,” katanya.

Minggu lalu, Hamidin selepas mesyuarat EXCO FAM memberi bayangan beberapa perubahan bakal disaksikan khususnya dari segi pemilihan pemain untuk panggilan ke skuad kebangsaan yang akan datang.

Ia susulan idea yang dilontarkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya pemain skuad kebangsaan dapat dinilai menerusi minit permainan bersama pasukan masing- masing dalam saingan domestik.

Dalam masa sama, Satianathan melihat betapa pentingnya kepada pemain untuk terus berlatih pada tahap tertinggi dan berusaha keras pada sesi latihan sekalipun jarang mendapat peluang untuk diturunkan pada perlawanan sebenar.

Apa yang penting adalah pemain tempatan ini berlatih pada tahap yang tertinggi ketika bersama pasukan. Sebab itu, kita lihat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kurang minit tetapi dapat beraksi dengan baik apabila bersama skuad kebangsaan.

Ini kerana di JDT itu pun mereka sudah berlatih pada tahap yang tertinggi dan mereka kekal berada pada tahap sebegitu apabila menyertai skuad kebangsaan.

“Sebelum ini pun, barisan skuad kejurulatihan memang sentiasa mengambil input daripada jurulatih pasukan untuk menilai mana-mana pemain yang dirasakan sesuai untuk membarisi skuad kebangsaan,” katanya.