Sambutan dingin terhadap jualan tiket final Piala Malaysia yang menyaksikan pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC (SPFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 26 April ini turut membabitkan penyokong Harimau Selatan.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Mohd Fadzli Sapie berkata, difahamkan ketika ini jualan tiket membabitkan penyokong JDT hanya sekitar 15,000 tiket sudah terjual dan masih berada di tahap kurang memuaskan.
“Ketika ini, KPBJDT sudah menempah 600 tiket dan sudah menempah 15 buah bas. Ada peningkatan sedikit berbanding final Piala FA pada bulan Ogos tahun lalu. Namun penjualan tiket masih dalam situasi yang sendu.
“Saya difahamkan penyokong Boys Of Straits (BOS) hanya menempah 60 buah bas berbanding ketika final Piala FA mereka menempah 100 buah bas dan nampak sangat faktor pasukan lawan JDT iaitu Sri Pahang kurang menaikkan keghairahan penyokong ke Bukit Jalll.
“Kalau lawan Selangor FC pada aksi final piala berprestij itu, saya pasti tiket final akan laris seperti goreng pisang panas. Bukan hendak memperlekehkan Sri Pahang.
“Tapi berita sama ada pasukan itu kekal atau tidak dalam kancah Liga Super pada musim 2025/2026 mengundang pelbagai persepsi yang menyebabkan minat penyokong ke final merudum,” katanya.
Fadzli juga menambah, petugas marsyal Stadium Sultan Ibrahim pada final Piala Malaysia musim ini tidak menganjurkan `trip’ ke Bukit Jalil dan kemungkinan untuk membuat persiapan bagi sambutan kejuaraan liga JDT pada 27 April ini, berbanding ketika final Piala FA, mereka menempah lapan buah bas.
Menerusi laporan, semalam Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata setakat ini, sebanyak 8,633 tiket sudah terjual dan kelab itu mengharapkan peminat skuad Tok Gajah dapat bersama membanjiri Stadium Nasional.
sumber:- HM
“Bukan hendak menidakkan kemampuan Sri Pahang, tapi `aura’ final piala berprestij itu tampak kurang memberi impak keghairahan penyokong ke stadium namun saya berharap jualan tiket akan meningkat pada minggu akhir sebelum final tatkala JDT memburu kejuaraan `triple quadruple’ pada musim 2024 / 2025,” ujar Fadzli.