Gelaran juara yang diraih gandingan beregu campuran Hong Kong, Jordan Tang-Tse Ying-suet pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, memberi isyarat terhadap kredibiliti dan kemampuan jurulatih dari Malaysia.
Apa tidaknya, di sebalik kejayaan Jordan-Ying-suet yang menundukkan pasangan Jepun, Midorikawa Daiki-Saito Natsu 21-15, 17-21, 21-13 di pentas final, ada dua individu di belakang gandingan berkenaan yang cukup sinonim dengan sukan badminton negara.
Mereka adalah Wong Choong Han dan Tan Bin Shen yang juga bekas pemain dan jurulatih kebangsaan negara yang kini menggalas tugas bersama skuad badminton kebangsaan Hong Kong.
Diletakkan pilihan kelima kejohanan, Jordan-Ying-suet yang mendapat ‘sentuhan’ Choong Han dan Bin Shen turut mencuri tumpuan apabila menyingkirkan pilihan utama dan beregu campuran nombor satu dunia dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin, di separuh akhir.
Kejayaan di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo itu sekaligus mematahkan dominasi China yang menguasai acara itu sejak 2016.
Sebelum ‘berhijrah’ ke Hong Kong, Choong Han, 48, pernah memegang tugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai Pengarah Kejurulatihan badan induk itu dari 2018 hingga 2022.
Dia kemudian dilantik sebagai Pengarah Perseorangan BAM pada Disember 2022 sebelum melepaskan jawatan itu pada Jun 2023.
Dan bermula pada Oktober tahun lalu, bekas pemenang pingat perak kejohanan dunia 2003 itu dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong menggantikan seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Tan Kim Her.
Sementara itu, Bin Shen yang juga bekas jurulatih beregu lelaki kebangsaan dilihat memainkan peranan penting dalam membentuk strategi taktikal beregu campuran berkenaan.
Selain Choong Han dan Bin Shen, Persatuan Badminton Hong Kong (HKBA) turut melantik dua bekas jurulatih negara, Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng bersama pasukan itu dan nampak ‘serasi’.
sumber:- BH
Apa yang menarik, sasaran mereka bukan saja mengharapkan kepakaran Malaysia untuk meningkatkan kualiti skuad kebangsaan negara itu, tetapi dengan sasaran tinggi meraih pingat di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles Amerika Syarikat.