sukan

Tiada lagi aksi ‘gelembung Buaya’

Corak permainan hantaran pendek dengan tidak lagi melambungkan bola jauh adalah gaya permainan baharu skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Perkara berkenaan diakui jurulatih dari Australia itu yang mahu anak didiknya mempertingkatkan lagi tahap permainan dengan menitik beratkan soal ketepatan hantaran dalam permainan.

Ujarnya, kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi adalah era baharu buat pasukan kebangsaan dengan menekankan corak permainan mudah dan berintensiti tinggi.

Katanya, gaya permainan baharu ini tampak sesuai dengan pemain namun beliau mengakui masih banyak lagi perkara yang perlu diperkemaskan selepas ini.

“Itu (hantaran pendek) salah satu cara untuk membina pasukan yang kuat, ia nampak sesuai dengan kami.

“Tetapi masih banyak lagi yang perlu dipertingkatkan dalam perlawanan terutamanya ketika menguasai bola, di mana kita dapat lihat setiap hantaran tepat pemain dan gerakan ketika menyerang agak baik.

“Ia persembahan yang saya kira bagus. Kita perlu tingkatkan lagi dalam aksi berikutnya,” katanya yang dilantik bagi menggantikan Pau Marti Vicente bermula Januari lalu.

Pada aksi malam semalam, dua gol pasukan negara diraih dalam setiap babak menerusi ledakan Hector Hevel di minit ke-30 dan Corbin Ong (m-70).

Hasil kemenangan itu, Malaysia kini di tangga kedua di belakang Vietnam yang sebelum itu membelasah Laos 5-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan F.

Mengulas mengenai prestasi setiap pemain, Cklamovski mengakui berpuas hati dengan barisan pemainnya sepanjang 90 minit aksi.”Aksi yang baik dan saya bangga dengan pemain. Mereka berikan segalanya, mereka lakukan semuanya dalam perlawanan.

sumber:- BH

“Apa yang dilakukan dalam latihan berjaya dilakukan dalam aksi ini biarpun kami hanya berlatih dalam tempoh yang agak singkat,” katanya.