sukan

Komen tanpa berselindung pengendali Nepal selepas ditumpaskan oleh Malaysia

Ketua jurulatih Nepal, Matthew Ross menegaskan kekalahan 0-2 ke atas Malaysia pada aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini berpunca daripada perbezaan kualiti permainan yang ada di kalangan pemain Harimau Malaya.

Katanya, pemain bergelut untuk menyesuaikan rentak permainan yang jelas dikuasai barisan pemain Peter Cklamovski yang menguasai di posisi sayap kiri dan kanan apabila mereka kerap melancarkan dan bergerak di bahagian berkenaan.

“Sebab itu saya mengubah corak permainan dengan meletak lima pemain untuk bertahan dan berusaha untuk menyekat corak intensiti permainan yang dibentuk barisan pemain Malaysia namun nasib tidak baik apabila mereka berjaya menjaringkan gol.

“Selepas mereka menjaringkan gol kami bergelut untuk kembali menyusun rentak permainan dan saya terpaksa membuat rombakan dengan membawa tenaga baru dalam usaha mengimbangi kekuatan pasukan Malaysia,” katanya.

Dalam perlawanan itu skuad The Gorkhalis terpaksa akur dengan kehebatan Harimau Malaya apabila kecundang dengan jaringan pemain warisan Hector Hevel pada minit ke-30 disusuli gol jaringan Corbin Ong menerusi `set-piece’ menarik yang dibentuk oleh kombinasi Endrik Dos Santos dan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-70.

sumber: HM

“Sejujurnya ia bukan keputusan yang kami inginkan namun apa yang berlaku beri pengajaran buat kami bagi memperkemaskan lagi corak permainan bagi persediaan untuk aksi seterusnya tatkala kami menjalani latihan kurang daripada tiga minggu,” kata Ross