“Perkara berlaku pantas dalam satu masa, kita kehilangan jurulatih dan kita dihukum. Saya akui ia memberikan kesan kepada pasukan”.
Demikian kata penolong jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil yang mengakui pasukannya tidak berada pada tahap terbaik ketika turun menentang Selangor FC dalam aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, malam tadi.
Katanya, beberapa keputusan di luar dugaan berlaku cukup pantas khususnya hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta kehilangan pengendali pasukan, P Maniam yang direhatkan cukup mengejutkan.
Untuk rekod, PDRM FC ditimpa ‘musibah’ selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM memberi kemenangan 3-0 kepada skuad Red Giants untuk aksi final pertama ekoran kesalahan pasukan itu menurunkan pemain yang digantung.Situasi bertambah buruk apabila Maniam pula direhatkan beberapa hari sebelum final kedua.
“Ia sesuatu yang mengejutkan dan saya ada dua hari untuk menyiapkan pasukan (mengambil alih tugas daripada Maniam). Apa yang kita dah rancang dengan ketua jurulatih, saya teruskan kerana saya tidak ada masa cukup untuk ubah taktikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Mengulas mengenai perlawanan itu, beliau mengakui skuad Sang Saka Biru serba tidak menjadi selepas turut kehilangan penyerang utama mereka, Ifedayo Olusegun sehingga mencacatkan jentera serangan pasukan.
“Saya akui memang ada perbezaan besar berbanding perlawanan pertama. Kita tidak dapat turunkan pasukan terbaik dengan kecederaan Ifedayo.
“Kita agak ketara lemah di bahagian tengah dan serangan. Seterusnya, kita dihukum dengan dua gol awal selain layangan kad merah kepada pemain kita di awal permainan,” katanya.
sumber:- HM
Dalam aksi malam tadi, empat gol Selangor FC diraih menerusi Ali Olwan, Ronnie Fernandez dan Yohandry Orozco yang mencetak dua gol.