Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong akan meningkatkan intensiti latihan di gelanggang mulai minggu depan sebagai persediaan menghadapi kejohanan pertamanya pada April depan selepas dua kali menjalani pembedahan belakang tahun lalu.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen, berkata keputusan itu dibuat selepas pemain berusia 22 tahun itu menunjukkan perkembangan positif dalam latihan dan akan meningkatkan intensiti secara beransur-ansur.
“Kami mengadakan perbincangan yang baik minggu ini dan bersetuju dengan pelan pemulihan yang dirangka. Saya cukup kagum dengan perkembangannya setakat ini.
“Bermula minggu depan, dia akan menjalani latihan di gelanggang empat kali seminggu dengan intensiti penuh.”Bagaimanapun, saya tidak mahu memberi tekanan terlalu awal kepadanya. Ini juga kali pertama dia akan berlatih dua hari berturut-turut sebelum diberi rehat sehari, diikuti dengan dua lagi hari latihan.
“Ia pengalaman baharu baginya, jadi saya perlu mengurus beban latihannya dengan teliti sebagai sebahagian daripada pemulihan jangka panjangnya,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Tze Yong dilapor sudah kembali berlatih sejak awal Februari yang membabitkan latihan di gelanggang selama tiga hari seminggu secara selang-seli di ABM, manakala baki tiga hari lagi dikhaskan untuk latihan kekuatan, pemulihan, serta sesi latihan di Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil.
Sementara itu, ditanya mengenai kejohanan pertama yang bakal disertai pemain itu pada April, Jonassen berkata Tze Yong dijangka menyertai kejohanan tahap rendah terlebih dahulu bagi mendapatkan kembali rentak persaingan.
sumber:- BH
“Penting untuk dia kembali beraksi dalam kejohanan tahap rendah terlebih dahulu. Kami berharap ia akan menjadi langkah permulaan sebelum dia kembali ke tahap terbaiknya,” katanya.