sukan

JDT selangkah ke ke pusingan 16 ACLE

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio, bertekad melakar kemenangan pada aksi terakhir kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), apabila melayan kunjungan Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Selasa

Menurut Bidoglio, biarpun hanya memerlukan seri untuk mengesahkan slot ke pusingan 16 ACLE kali ini, namun skuad Harimau Selatan itu diharap dapat mempamerkan aksi terbaik ketika berdepan wakil dari Korea Selatan itu.

Malah, Bidoglio turut menjangkakan tentangan sengit daripada pelawat yang turut memburu slot ke saingan kalah mati itu.

“Kami berada dalam kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan 16 dan kemenangan ini akan memberikan kelebihan kepada kami.”Oleh itu, kami perlu bekerja keras bagi memastikan tiga mata menjadi milik JDT,” katanya.

Untuk rekod, JDT kini berada di tangga kelima dalam saingan peringkat kumpulan Zon Timur dengan 11 mata, manakala Pohang Steelers di tempat kelapan dengan sembilan mata.

Dalam pada itu, Bidoglio mengakui lega apabila kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik, termasuk Juan Muniz dan Murilo Henrique yang kembali ke pangkuan pasukan selepas menjalani penggantungan perlawanan.

Malah katanya, skuad Harimau Selatan itu turut diperkuatkan dengan kehadiran pemain import baharu, Anselmo Morales, 35, yang menyertai pasukan dua hari lalu.

“Anselmo seorang pemain berpengalaman dan kehadirannya akan memperkukuhkan lagi bahagian tengah setelah kita kehilangan khidmat Roque Mesa yang mengalami kecederaan ACL (ligamen anterior cruciate), ketika menentang Central Coast Mariners minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Bidoglio berkata, JDT kini sudah hampir mencapai sasaran mara ke pusingan 16 terbaik.Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Argentina itu mahu melihat sejauh mana anak didiknya mampu melangkah dalam saingan ACLE musim ini.

sumber:- SH

“Pada awalnya, sasaran kami hanyalah untuk layak ke pusingan 16, dan kini kami semakin hampir mencapainya. Kini, kami perlu menjadi lebih kuat untuk terus melangkah lebih jauh,” katanya.