SASARAN Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan, Robert Friend untuk membawa Harimau Malaya mara ke Piala Dunia bukan sekadar angan-angan kosong.
Pemain tengah Harimau Malaya, Mohammad Syamer Kutty Abba berkata, sasaran tinggi itu harus diletakkan skuad negara namun dalam masa sama perlu memastikan rentak yang baik dapat dimulakan dalam kejohanan terdekat.
“Kita kena letak sasaran yang paling tinggi dan paling jauh yang kita boleh. Tetapi, kita tengok apa yang terdekat dulu dengan kita sekarang.
“Jadi, kita capai apa yang terdekat dan selepas itu tengok serta teruskan jalan itu untuk kita pergi sejauh yang boleh,” katanya.
Harimau Malaya sedang melalui fasa revolusi dengan pelantikan beberapa jawatan penting dalam pengurusan selain kehadiran pengendali baharu, Peter Cklamovski untuk memacu skuad negara.
Selain itu, skuad negara dijangka diperkuatkan sekurang-kurangnya lapan pemain warisan baharu yang akan menambahkan kualiti untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Malah, seorang pemain warisan daripada Belanda sudah hampir pasti menyarung jersi kebangsaan dengan proses mendapatkan pasport sedang berada pada peringkat akhir.
sumber:- SH
Ujian awal wajah baharu Harimau Malaya ini ialah untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027 dengan sasaran utama untuk layak ke kejohanan yang bakal berlangsung di Arab Saudi.