“Saya tidak akan menipu, memang benar bukan senang nak menentang mereka. Realistiknya susah dan sukar.”
Demikian kata tonggak pertahanan kental Kuala Lumpur City FC (KL City), Giancarlo Gallifuoco menjelang aksi hidup mati menentang Buriram United di Chang Arena, Buriram, malam esok.
Jelas Gallifuoco, kekuatan dan ‘level’ Buriram United baginya tidak ubah seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia yang cukup hebat dan gah di rantau ini.
Bagaimanapun katanya, ia tidak akan melemahkan semangat pasukan di mana pemain kelahiran Sydney, Australia itu mahu rakan sepasukan memberikan 150 peratus komitmen untuk aksi itu nanti.
“Mereka pasukan terabik di rantau Asia Tenggara dan mereka sama tahap seperti JDT. Mereka sebuah pasukan yang memiliki sumber kewangan kukuh, fasiliti yang terbaik dan stadium juga terbaik. Pemain mereka juga berkualiti dan itu adalah fakta.
“Namun jangan lupa, kami juga ada pemain yang berkualiti. Kami akan cuba lakukan seperti mana yang kami pernah lakukan sejak empat tahun lalu, kami akan cuba berikan 150 peratus hingga wisel penamat.
“Mereka adalah pilihan tetapi kami tidak akan sesekali memberi laluan mudah dan akan menyukarkan peluang mereka sepanjang perlawanan nanti,” katanya.
Untuk rekod, KL City hampir mengejutkan Asia apabila mara hingga ke final Piala AFC pada 2022 sebelum tumbang di tangan kelab Oman, Al Seeb di perlawanan akhir.
Biarpun tidak diberikan harapan, kejayaan melangkah ke final dianggap pencapaian luar biasa ketika KL City hanya membelanjakan tidak lebih daripada RM10 juta semusim.
Ujar Gallifuoco yang pernah beraksi di akademi Tottenham Hotspur di England akui kehilangan beberapa pemain utama tidak boleh dijadikan alas an, sebaliknya penyusunan taktikal dan disiplin yang betul boleh menjerat lawan.
“Kami kehilangan ramai pemain utama disebabkan penggantungan dan kecederaan, tapi ia tidak melemahkan pasukan. Pasukan akan lebih menitik beratkan soal taktik dan disipin dalam sistem permainan.
sumber:- HM
“Biasanya apabila berdepan masalah ini, kita perlu beraksi secara kolektif dan kita akan cuba lakukan sebaiknya seperti mana yang pernah kita lalui empat tahun sebelum ini, di mana kami benar-benar solid sebagai satu pasukan,” katanya.