Langkah pihak pengurusan Terengganu FC (TFC) ‘merantai’ tonggak skuad kebangsaan, Akhyar Rashid secara tetap adalah keputusan yang bijak dan berbaloi.
Pandangan ini diluahkan Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin yang melihat keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan TFC itu adalah tepat pada masanya.
Bagaimanapun jelasnya, peminat setia skuad Penyu meletakkan harapan yang tinggi agar pemain yang sebelum ini berstatus pinjaman daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dapat menampilkan aksi yang lebih berkualiti setiap kali disenaraikan dalam pasukan.
Namun Mohd Isa berkeyakinan, kehadiran Akhyar dalam skuad Penyu itu juga mampu meningkatkan lagi prestasinya kerana minit permainan bertambah sekali gus boleh menguntungkan skuad kebangsaan.
“Sejak Kebelakangan ini kita lihat prestasi Akhyar dari sehari ke sehari semakin menyerlah dan serasi bersama rakan sepasukannya dalam TFC.
“Situasi ini mungkin disebabkan minit permainannya bertambah kerana disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan.
“Jadi kami berpandangan keputusan TFC menyambung kontraknya adalah satu langkah yang bijak dan berbaloi serta perancangan jangka panjang yang baik buat pasukan.
“Kami penyokong berharap kehadirannya bukan sekadar atas namanya sebaliknya dapat menambah baik lagi mutu serta komitmennya terhadap pasukan TFC serta dapat memberi sesuatu yang begitu bermakna buat pasukan serta penyokong yang mengharapkan kejayaan dalam setiap perlawanan,” ujar Mohd Isa.
sumber:- HM
Kelmarin pihak pengurusan TFC memaklumkan tonggak kelahiran Kedah itu tidak lagi bergelar pemain pinjaman JDT selepas diperkenankan Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebagai pemain tetap bersama TFC sehingga musim 2027.