sukan

Pendedahan TMJ selesai masalah skuad Malaysia

Kehadiran sekurang-kurangnnya enam pemain warisan dijangka mampu menyelesaikan masalah Harimau Malaya di beberapa posisi kritikal terutama bahagian serangan dan tengah.

Ia selepas Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mendedahkan bahawa enam hingga tujuh pemain warisan sudah dikenal pasti akan memperkuatkan Harimau Malaya dengan mereka terdiri daripada penyerang dan pemain tengah.

Malah, Tunku Mahkota Ismail juga memberi bayangan bahawa pemain berkenaan memiliki gred tinggi berdasarkan status mereka yang beraksi dalam liga utama di sekitar Eropah.

Perkara paling utama ketika ini adalah usaha untuk memastikan pemain berkenaan mendapat pasport Malaysia secepat mungkin bagi membolehkan mereka beraksi pada kempen kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac depan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan perkara paling penting dalam pembentukan pasukan yang mantap adalah persefahaman semua pemain selain memahami perancangan jurulatih.

Justeru, beliau berkata, ketua jurulatih baharu Peter Cklamovski juga memerlukan masa yang mencukupi untuk membentuk adunan terbaik dalam skuad Harimau Malaya.

“Pada saya, siapa pun yang datang ke dalam pasukan, yang penting adalah persefahaman. Kalau mereka (pemain warisan) cepat dapat pasport Malaysia, mungkin jurulatih ada masa yang baik untuk bentuk pasukan.

“Ia juga akan mampu membentuk persefahaman yang baik dalam pasukan bagi melakukan persiapan untuk kelayakan Piala Asia 2027.

“Jurulatih dan staf profesional serta orang yang memegang tampuk pengurusan pasukan pun orang yang berpengalaman dan tahu mengenai bola sepak. Saya berasa jika benda ini dapat diadunkan semua sekali, tak mustahil untuk dapat satu keputusan dalam jangka singkat,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail memaklumkan pemain warisan berkenaan terdiri daripada pemain di posisi pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, tengah menyerang dan sayap kiri dengan kebanyakan bermain di Selatan Eropah.

Selain itu, Wan Jamak percaya pemain warisan yang akan dibawa masuk ke pasukan kebangsaan kali ini adalah pemain yang memiliki kualiti lebih tinggi dan mampu membantu Harimau Malaya mendapat keputusan positif dalam tempoh singkat.

“Tindakan Tunku Mahkota Ismail membawa masuk enam lagi pemain warisan untuk pasukan negara dilihat untuk kita mendapat keputusan yang cepat. Maknanya, untuk jangka pendek, ini yang terbaik untuk pasukan negara.

sumber:- BH

“Saya pasti Tunku Mahkota Ismail akan menilai pemain yang terbaik. Selama ini ada pemain naturalisasi yang tidak setanding dengan pemain tempatan, jadi kita harap kali ini pemain itu lebih bagus dari pemain sedia ada,” katanya.