sukan

Komen Amorim selepas Manchester United kejutkan Arsenal

RUBEN Amorim menegaskan Manchester United layak mara ke pusingan keempat Piala FA selepas menyingkirkan Arsenal menerusi penentuan penalti di Stadium Emirates.

Dalam perlawanan itu, United mengejutkan Arsenal menerusi gol pendahuluan Bruno Fernandes pada minit ke-52.

Namun, Arsenal berjaya menyamakan kedudukan menerusi Gabriel Magalhaes dua minit selepas Diogo Dalot diarah keluar padang akibat layangan kad kuning kedua m-60.

The Red Devils bertahan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan, sebelum penjaga gol kedua, Altay Bayindir bertindak cemerlang menafikan percubaan Kai Havertz untuk kemenangan 5-3 dalam penentuan penalti.

Kemenangan itu hadir selepas kekalahan 0-2 United kepada Arsenal di Emirates pada 4 Disember lalu, yang merupakan kekalahan pertama Amorim sebagai pengurus The Red Devils.

“Kami menunjukkan semangat yang berbeza (berbanding perlawanan terakhir menentang Arsenal), Kami bermain dengan baik walaupun dengan 10 pemain.

“Saya rasa kami menghadapi banyak kesukaran pada permulaan perlawanan.

“Kami menderita kerana terlalu banyak mengejar bola daripada menguasai permainan.“Apa pun, kami sememangnya layak mara kerana kami menderita bersama-sama dan menunjukkan karakter, itu perkara yang sangat penting,” ujar Amorim.

Sementara itu, ketika mengulas prestasi Bayindir yang melakukan beberapa penyelamatan penting, Amorim berkata: “Dia seorang pemain yang baik dan bekerja keras. Beberapa minggu lalu, kami melalui saat yang sukar tetapi sekarang dia seperti wira bagi kami.”

Bayindir sebelum ini beraksi dalam kesemua tiga aksi ketika saingan Piala Liga Inggeris, namun berdepan kritikan apabila melakukan kesilapan menyebabkan United tewas 3-4 kepada Tottenham Hotspur sekali gus menyaksikan mereka tersingkir.

sumber:- SH

Sebagai rekod, United meraih 13 gelaran Piala FA termasuk musim lalu dan mereka hanya tiga kali terkandas di pusingan ketiga sepanjang tempoh 40 tahun penyertaan dalam pertandinga tersebut.