Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terbuka dalam menerima sebarang pandangan daripada semua pihak berhubung hala tuju buat barisan pemain negara.
Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata dia menghargai pandangan disuarakan bekas pakar beregu lelaki kebangsaan, Datuk Razif Sidek yang mencadangkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dipecahkan sementara sekiranya masih tidak mencapai tahap yang diharapkan selepas berakhir saingan Seluruh England, Mac depan.
Bagaimanapun, katanya sama ada cadangan itu diterima atau sebaliknya perlu diputuskan secara bersama dengan semua pihak termasuk barisan jurulatih dan pemain sendiri.
“Kita menghargai pendapat semua, tiada yang salah atau betul. Semuanya kita boleh dengar.
“Namun, apa yang paling penting adalah kita duduk berbincang dengan jurulatih dan pemain serta pihak lain yang berkepentingan.”Kita perlu menentukan secara bersama apa perancangan untuk bergerak ke hadapan, jurulatih dan pemain perlu terbabit dalam perancangan itu.
“Selepas itu baru kita boleh lihat apa yang kita boleh lakukan untuk bergerak ke hadapan,” katanya kepada BH Sukan.BH Sukan semalam melaporkan Razif yang juga pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Barcelona 1992 bersama Datuk Seri Jalani Sidek berpandangan perpisahan sementara mungkin mampu menyuntik nafas baharu dalam gandingan Aaron-Wooi Yik.
Ini selepas pasangan nombor enam dunia itu melalui permulaan musim 2025 yang mengecewakan apabila dikejutkan dengan kekalahan straight set di tangan gandingan Taiwan yan menghuni ranking ke-27 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen di pusingan kedua Terbuka Malaysia, Khamis lalu.
Razif berkata langkah memisahkan sementara Aaron-Wooi Yik mampu memberi ruang kepada mereka memperbaiki kelemahan masing-masing dan lebih menghargai hubungan mereka dalam usaha untuk mengukuhkan kombinasi serta terus kekal dalam kelompok utama dunia.
Katanya, contoh terbaik adalah gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang pernah berpisah selama lima bulan sebelum membuat ‘pusingan U’ untuk kembali bergandingan dan kini menjadi beregu lelaki nombor tiga dunia selepas meraih beberapa gelaran juara dalam Jelajah Dunia BWF.
Selain muncul juara dunia pada 2022 dan dua kali memenangi pingat gangsa Olimpik di Tokyo 2020 serta Paris 2024, Aaron-Wooi Yik bergelut untuk merangkul gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF.
sumber:- BH
Sejak digandingkan pada 2017, pasangan itu baru dua kali muncul juara iaitu pada Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.