sukan

Aaron-Wooi Yik terpaksa berpisah

Selepas tujuh tahun bersama, perpisahan sementara mungkin mampu menyuntik nafas baharu dalam gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekiranya beregu lelaki negara itu terus bergelut dengan prestasi tidak menentu.

Kelmarin, bekas juara dunia itu melalui permulaan musim 2025 yang mengecewakan apabila dikejutkan dengan kekalahan straight set di tangan gandingan Taiwan yan menghuni ranking ke-27 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 15-21, 18-21 dalam tempoh 47 minit di Axiata Arena Bukit Jalil.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek berpandangan langkah memisahkan sementara Aaron-Wooi Yik mampu memberi ruang kepada mereka memperbaiki kelemahan masing-masing dan lebih menghargai hubungan mereka dalam usaha untuk mengukuhkan kombinasi serta terus kekal dalam kelompok utama dunia.

Katanya, contoh terbaik adalah gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang pernah berpisah selama lima bulan sebelum membuat ‘pusingan U’ untuk kembali bergandingan dan kini menjadi beregu lelaki nombor tiga dunia menerusi pelbagai kejayaan diraih mereka.

“Untuk pisahkan mereka sekarang mungkin sukar kerana saya percaya mereka juga sedang dipersiapkan untuk menghadapi Seluruh England.

“Namun, saya fikir kalau selepas Seluruh England pun masih tidak mencapai tahap yang diharapkan, perpisahan sementara mungkin boleh dipertimbangkan. Kita boleh cuba untuk beberapa bulan atau beberapa kejohanan.

“Semua ini terpulang kepada pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) dan barisan kejurulatihan bagaimana mereka mahu menguruskan perkara ini.

“Apa yang saya lihat BAM pun terikat dengan penaja menerusi kehadiran kedua-dua pemain ini dan mungkin ia sukar dilaksanakan.

“Jadi, persoalannya sekarang sama ada BAM sanggup atau tidak. Sekiranya pemain pun kata ok, saya rasa ia boleh dipertimbangkan,” katanya kepada BH Sukan.

Razif yang juga pemenang pingat gangsa beregu lelaki Olimpik Barcelona 1992 bersama Datuk Seri Jalani Sidek berkata, selain muncul juara dunia pada 2022 dan dua kali memenangi pingat gangsa Olimpik di Tokyo 2020 serta Paris 2024, Aaron-Wooi Yik bergelut untuk merangkul gelaran dalam saingan Jelajah Dunia BWF.

Sejak digandingkan pada 2017, pasangan itu baru dua kali muncul juara iaitu pada Terbuka Denmark 2023 dan Masters Korea 2024.

“Pada saya situasi ini sebenarnya agak sukar diterima. Ia seperti ada sesuatu yang tidak kena.

“Namun, saya tidak pasti, mungkin pendekatan mereka lain. Mungkin mereka bermain untuk mengekalkan kedudukan dalam ranking dunia atau kekal sebagai pasangan, itu saya tidak pasti.

“Dalam hal ini, saya percaya BAM dan jurulatih lebih faham. Dari segi pencapaian, memang mereka ketandusan kejuaraan,” katanya.

Izzuddin-Sze Fei selepas kembali bergandingan berjaya merangkul tiga gelaran sepanjang musim lalu – Terbuka China, Terbuka Jepun dan Terbuka Artik selain muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF.

Pecahan gandingan bukanlah perkara baharu dalam sukan badminton kerana ia juga dilakukan negara-negara lain seperti China, Korea Selatan dan Indonesia bagi mencuba kombinasi baharu terutama pasca Sukan Olimpik yang menyaksikan beberapa pemain utama turut menggantung raket.

sumber:- BH

Dalam beregu lelaki ketika ini, Korea memecahkan gandingan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.Min Hyuk kini digandingkan bersama Jin Yong manakala Seung Jae berpasangan dengan Kim Won Ho.