sukan

‘Muka biasa’ ada kelebihan

‘Muka biasa’ yang dijangka bertanding pada Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijadual bulan depan dilihat memiliki sedikit kelebihan untuk merebut jawatan untuk menerajui badan induk itu bagi penggal seterusnya.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Seremban, Dr Radzliyana Radzuwan menjangkakan kehadiran ‘muka baharu’ mampu membuatkan saingan lebih sengit dengan tidak mustahil kejutan dapat disaksikan pada kongres pemilihan kali ini.

Malah, pemilihan ‘muka lama’ juga disifatkan bakal memberi risiko kepada agenda perubahan badan induk itu sekali gus menuntut ahli gabungan supaya dapat memilih calon yang dilihat terbaik dan mampu membawa perubahan ke arah yang lebih mantap.

“Muka lama ataupun muka biasa banyak kelebihan dan lebih mudah memenangi hati ahli gabungan kerana mereka pernah bekerja bersama. Hubungan yang mereka ada menjadikan mereka lebih selesa antara satu sama lain tanpa perlu menyesuaikan diri dengan perkara baharu.

“Tetapi kita khuatir jika semua muka lama dikekalkan, pembangunan FAM mungkin menjadi lebih sukar dan mencabar. Maksudnya tidak banyak perubahan dapat dibuat.

“Sebaliknya, muka baru pasti berdepan cabaran besar untuk menawan hati ahli gabungan di mana kredibiliti mereka mungkin menjadi taruhan dan ada isu untuk mereka mendapatkan kepercayaan dalam kalangan ahli gabungan.

“Tetapi saya yakin jika calon baru itu betul-betul ‘well-known’ and ‘well-recognized’, tidak mustahil untuk dia menang. Calon baru yang ada pengalaman dan hubungan langsung dlm bolasepak tidak berdepan masalah besar untuk memenangi hati ahli gabungan,” katanya.

Sebagai rekod, antara nama yang dikaitkan untuk bertanding bagi jawatan Presiden FAM antaranya ‘orang FAM’ seperti Naib Presiden FAM ketika ini, Datuk Joehari Ayub dan Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah.

Ada juga individu yang pernah terbabit dalam pentadbiran FAM seperti Sayf Ismail mahu bertanding bagi jawatan Presiden FAM serta bekas EXCO, Datuk Seri Shahril Mokhtar sedia merebut kerusi Timbalan Presiden.

Muka baharu yang dikhabarkan akan bertanding adalah bekas pemain kebangsaan seperti Datuk Dollah Salleh bagi jawatan Naib Presiden dan Datuk Zainal Abidin Hassan untuk kerusi EXCO FAM.

sumber:- BH

Saingan kian rancak selepas perkembangan terbaharu menyaksikan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin turut menyatakan minat bertanding bagi jawatan Presiden FAM.