Satu lagi jawatan utama dalam struktur organisasi baharu revolusi skuad Harimau Malaya diisi selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
Berdasarkan kenyataan daripada FAM, pakar dari Australia itu akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya, bulan ini.
Bagaimanapun, pasti ada yang tertanya-tanya siapa sebenarnya Duncan yang akan menggalas misi besar untuk membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi.
Duncan adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini.Beliau pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
Duncan juga Pensyarah Kanan Senaman dan Sains Sukan di Australian Catholic University (ACU) sejak 2013 hingga kini yang mana beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sains Sukan dan Senaman dari University of Sydney dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dari Deakin University.
Beliau turut menggalas jawatan sebagai penasihat di Elite Performance Partners sejak dari 2021 hingga kini.
Duncan bekerja dengan Sydney FC ketika mereka memenangi kejuaraan Liga-A dan bersama Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014.
Malah, beliau pernah bersama pasukan NSW untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam siri State of Origin pada 2014 dan 2018, serta dengan Socceroos apabila mereka muncul juara Piala Asia pada 2015.
Selain itu, beliau turut menyelia program prestasi tinggi pasukan kebangsaan Iran dengan skuad itu mara ke separuh akhir Piala Asia 2019.
Berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang prestasi manusia, tugas Duncan di FAM adalah bertanggungjawab dalam mengetuai hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
sumber:- BH
Sebagai salah seorang saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan beliau yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka.