sukan

Mu tunggu aku datang — Mamut

Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut bakal kembali memperkuatkan pasukan pada 10 Januari tahun depan.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan sendiri oleh pemain import tinggi lampai kelahiran Croatia itu yang kini berada di negaranya menjalani rehabilitasi.

“Jika tiada halangan, saya akan kembali ke Terengganu pada 10 Januari 2025 sebelum bersama rakan sepasukan menjalani latihan.

“Lagipun sekarang tahap kecederaan saya sudah baik, tapi saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana perlu membuat pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu dengan pegawai perubatan di Terengganu sebelum boleh beraksi.

“Namun sebenarnya saya sudah tidak sabar lagi untuk membuat penampilan pertama bersama TFC pada musim ini lebih-lebih lagi hampir setahun tidak beraksi kerana cedera.

“Ini sejarah buruk pertama sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak, harap situasi sama tidak berulang lagi selepas ini.

“Kepada peminat setia TFC, sekiranya diberi peluang barisan kejurulatihan, saya akan peragakan aksi terbaik sebagaimana sebelum ini untuk membantu pasukan dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala Shopee,” katanya ketika dihubungi semalam.

sumber:- HM

Ketika ditanya adakah dia teruja untuk beraksi dalam saingan Piala Shopee, pemain berusia 27 tahun yang meledak 22 gol sepanjang 32 penampilannya bersama TFC pada musim lalu akui mahu memburu gol pertamanya dalam saingan itu.