Berdasarkan prestasi semasa, beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tampak ada peluang cerah untuk mencipta sensasi di Terbuka Malaysia dijadual berlangsung dari 7 hingga 12 Januari ini.
Menuju kejohanan utama pertama dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun depan itu, Tang Jie-Ee Wei menutup tirai kempen tahun ini dengan melangkah ke final di Jelajah Dunia Akhir BWF, baru-baru ini.
Sekalipun pasangan ranking enam dunia itu terpaksa berpuas hati sebagai naib juara apabila tewas kepada gandingan China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, persembahan yang ditampilkan cukup positif malah mencipta sejarah muncul beregu campuran negara pertama mara ke final kejohanan itu sejak ia mula diperkenalkan pada 2018.
Enggan meletakkan tekanan tinggi kepada diri sendiri, Ee Wei berkata, sasarannya adalah untuk mendapatkan keputusan terbaik dan ia bermula dengan melakukan persediaan rapi menjelang kejohanan berstatus Super 1000 itu.
“Seperti pemain lain, apabila menyertai sesuatu kejohanan, semua orang mahu menjadi juara, lebih-lebih lagi di tanah air sendiri. Jadi, kami turut mempunyai hasrat sama.
“Tetapi apa yang lebih penting adalah untuk mendapatkan persiapan yang terbaik sebelum kejohanan bermula supaya kami dapat memberikan saingan hebat.
“Kami perlu belajar daripada kesilapan, beri yang terbaik dan hasilnya akan muncul,” kata Ee Wei.
Dalam pada itu, Tang Jie berkata, dia sudah ‘menutup buku’ 2024 dengan fokus utamanya kini adalah untuk memperoleh pencapaian lebih cemerlang pada 2025.
“Kini kami kembali menjalani latihan untuk mendapatkan tahap permainan terbaik dan itu adalah keutamaan kami sebelum Terbuka Malaysia ini.
sumber:- HM
“Tambahan pula, ia (Terbuka Malaysia) adalah kejohanan utama pertama dan ia berlangsung di Malaysia, jadi kami sangat teruja.”Masih ada masa untuk membuat persediaan dan kami akan lihat bagaimana hasilnya nanti,” kata Tang Jie.