sukan

TMJ akhirnya ‘buka mulut’

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menafikan legenda bola sepak Australia, Tim Cahill akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya.

Perkembangan itu disahkan Tunku Mahkota Ismail sendiri menerusi InstaStory beliau yang turut menyertakan gambarnya bersama bekas pemain Everton itu yang ketika ini menjadi Ketua Eksekutif Sukan Akademi Aspire.

“Lelaki ini, Tim Cahill bukan CEO skuad kebangsaan Malaysia.

“Beliau adalah penasihat peribadi saya untuk sukan dan hubungan antarabangsa,” kata Tunku Mahkota Ismail.Terdahulu, Tunku Mahkot Ismail menerusi platform X menyenaraikan beberapa kriteria utama bagi mengisi posisi terbabit.

Tunku Mahkota Ismail yang menjadi tulang belakang di sebalik penstrukturan organisasi skuad Harimau Malaya turut memberi bayangan bahawa pemilihan CEO hampir dimuktamadkan.

Malah, Tunku Mahkota Ismail mahukan CEO terbabit memiliki kualiti yang terbaik supaya dapat membantu meningkatkan kualiti skuad kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi selepas ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan hampir diselesaikan. Ketua Pegawai Eksekutif pasukan kebangsaan Malaysia mestilah seorang yang memahami bola sepak dan mengetahui selok-belok sukan ini secara profesional supaya dapat menghubungkan aspek teknikal, komersial, dan hubungan interpersonal dalam bola sepak.

“Beliau juga perlu mempunyai rangkaian yang kukuh dalam industri bola sepak dengan hubungan erat bersama individu-individu yang berjaya dalam sukan ini bagi merangka hala tuju Harimau Malaya.

“Beliau mestilah seorang yang bukan sahaja pernah bermain di peringkat tertinggi tetapi juga seorang usahawan yang mampu memacu kepentingan komersial Harimau Malaya.

sumber:- BH

“Selain itu, beliau juga perlu berupaya memberi nasihat kepada liga berkenaan dasar-dasar yang boleh secara langsung dan tidak langsung meningkatkan kedudukan pasukan kebangsaan kerana liga yang kuat dengan lebih banyak pasukan yang diuruskan dengan baik akan meningkatkan standard bola sepak Malaysia,” kata Tunku Mahkota Ismail.