FAM sokong ubah

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed melihat cadangan mengubah kalendar Piala Asean pada musim ‘off-season’ dalam pertengahan tahun antara Mei hingga Jun sebagai langkah bijak.

Katanya, perubahan itu perlu bagi memastikan prestij saingan serantau itu yang diibaratkan umpama ‘Piala Dunia’ Asia Tenggara itu disertai pemain-pemain utama dan bukannya skuad kedua.

Namun jelasnya, sebelum ia dilaksanakan, semua pihak terutamanya Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) perlu duduk semeja bagi memastikan perubahan itu boleh direalisasikan.

“Secara tradisi Piala Asean ini dilangsungkan di hujung tahun, tapi memandangkan perubahan jadual babitkan kalendar aksi Fifa di peringkat antarabangsa dan juga saingan liga yang perlu mengikut jadual seperti di Eropah, maka Piala Asean juga boleh memikirkan ke arah perubahan.

“Saya fikir prestij Piala Asean perlu dijaga sebaiknya kerana kita juga mahu melihat pasukan-pasukan bertanding diwakili pemain utama dan bukannya pemain muda.

“Untuk pemain muda, dah ada pertandingan Piala Asean B-23 dan Sukan Sea untuk mereka, jadi biarlah Piala Asean ini diperkuatkan pemain utama masing-masing.

“Apabila prestij kejohanan dijaga, kualiti permainan pasukan Asean juga meningkat sekali gus ia membolehkan mutu pasukan-pasukan Asia Tenggara juga naik.

“Kita mahu pembangunan di Asean terus meningkat sejajar tuntutan bola sepak masa kini yang semakin pantas maju ke depan,” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, menerusi laporan akhbar ini, AFF digesa meneliti semula kalendar dan format saingan Piala Asean agar prestij kejohanan yang diibaratkan umpama ‘Piala Dunia Asean’ itu kekal relevan.

Ini susulan tindakan beberapa pasukan yang terpaksa menghantar ‘skuad kedua’ untuk beraksi di saingan dwitahunan itu hingga menjejaskan kualiti dan prestij saingan paling ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak di seluruh Asia Tenggara.

Berdasarkan keadaan pada saingan edisi ke-15 ketika ini, terdapat tiga pasukan gergasi Asean seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand sekadar menghantar pasukan muda ataupun skuad gabungan, berbanding barisan utama ekoran isu jadual kejohanan yang bertembung dengan saingan liga domestik di negara yang pemain terbabit beraksi.

Misalnya Indonesia, kebanyakan pemain utama yang berdarah warisan adalah tonggak bermain di Eropah dan jika Piala Asean tetap dianjurkan pada bulan Disember, maka barisan skuad senior Garuda itu terpaksa diketepikan.

Skuad Harimau Malaya juga menerima tempias sama, apabila jadual Liga Malaysia tetap berjalan pada Disember sekali gus terpaksa menggunakan khidmat pemain yang jarang dipanggil ke kem negara sebelum ini.

Malah lebih memburukkan keadaan, apabila adanya pemain yang ‘keluar masuk’ beraksi bersama kelab sebelum kembali ke pangkuan skuad kebangsaan, di mana senario itu cukup membebankan pemain-pemain selain seolah tidak menghormati kejohanan Piala Asean itu.

Tinjauan dan analisis yang dilakukan Arena Metro, tarikh paling sesuai yang boleh dipertimbangkan oleh AFF adalah pada musim ‘off-season’ saingan liga iaitu pada pertengahan tahun antara Mei hingga Jun.

Memandangkan Piala Asean ini dua tahun sekali, saingan itu boleh ‘ditebuk’ pada tahun yang tidak bertembung dengan dua kejohanan terbesar dunia iaitu Piala Dunia dan Piala Eropah yang dianjurkan empat tahun sekali itu.

sumber:- HM

Malah, kebanyakan liga dirantau Asean juga sudah mengikut format ‘off-season’ pertengahan tahun seperti mana yang digunakan liga-liga di Eropah dan Asia Timur.