sukan

Selangor makin garang

Selangor mengukuhkan cengkaman di kedudukan kedua Liga Super selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Selangor mengumpul 35 mata selepas 16 perlawanan, enam mata di depan pasukan tangga ketiga, Sabah yang masih kekurangan satu perlawanan.

Malang bagi Perak apabila kekalahan itu menyebabkan mereka terlepas peluang untuk mendaki satu anak tangga ke kedudukan kelima dengan skuad Bos Gaurus kekal dengan 18 mata.

Pertembungan antara dua seteru itu berlangsung sengit, namun Selangor terlebih dahulu berada di depan apabila tonggak import, Alvin Fortes mudah menyudahkan hantaran lintang pertahanan kanan, Quentin Cheng pada minit ke-41.

Perak yang beraksi lebih baik pada babak kedua memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Noor, namun percubaannya ditampan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Tujuh minit kemudian Selangor yang dibimbing Katsuhito Kinoshi memperoleh gol kedua hasil permainan satu dua antara Fortes dan Alex Agyarkwa.

Fortes berjaya melepaskan rembatan leret dari dalam kotak penalti untuk menumpaskan penjaga gol tuan rumah, Ramadhan Hamid.

sumber:- BH

Selepas berkali-kali mencuba, Perak akhirnya meraih gol sagu hati menerusi rembatan jarak dekat Wan Zack pada minit ke-89.