sukan

KRW FC tiada kaitan dengan Kelantan FC

Kelab Bolasepak Kelantan Red Warriors (KRW FC) yang akan dilancarkan, Sabtu ini adalah kelab baharu dan tiada kaitan dengan pasukan Kelantan FC.

Pengerusi Gerakan Selamatkan Kelantan FC (GSK), Nik Hafiz Naim Nik Hassan menjelaskan KRW FC ditubuhkan hasil usaha sama pihaknya dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Nik Hafiz memaklumkan, keputusan menubuhkan KRW FC dilakukan selepas beberapa siri perbincangan GSK dengan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk mengambil alih kelab itu gagal menemui titik penyelesaian.

Beliau berkata, pihaknya sudah mendapat lampu hijau daripada Liga Bolasepak Amatur (AFL) dengan KRW FC akan bersaing dalam kancah Liga A1, musim depan.

“Kami sudah berjumpa dengan AFL dan mereka bagi lampu hijau untuk slot Liga A1. Kami ini seperti abang sudah mati, tapi bapa bagi dekat adik untuk teruskan.

“Lebih kurang empat atau lima bulan (bincang dengan Norizam), tapi tak membuahkan hasil dan menemui jalan buntu. Jadi kami buat usaha sama dengan KAFA untuk buka kelab baharu.

“Sekarang ini kami dalam proses dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), tapi AFL sudah beri lampu hijau dan kami akan buat pelancaran pada 21 Disember ini,” katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, heboh di media sosial yang mendakwa pasukan dari Pantai Timur menggunakan nama KRW FC bagi menggantikan Kelantan FC.

Selain itu, Nik Hafiz percaya KRW FC mampu untuk menarik sokongan daripada penyokong bola sepak Kelantan yang mahu melihat pasukan dari negeri itu bersaing dalam kancah bola sepak tempatan.

Beliau menjelaskan, pihaknya juga akan berhati-hati melakukan perbelanjaan terutama dalam mendapatkan pemain dan barisan kejurulatihan bagi mengelak terjerumus dengan masalah kewangan.

“Sekarang ini nampak positif, di media sosial pun sudah kecoh mengenai KRW. Jadi, satu perkembangan positif dari segi penyokong dan beberapa kumpulan penyokong juga bersama kami.

sumber:- BH
“Ada juga pemain yang hubungi kami, tapi kami masih dalam proses. Maknanya pemain dan jurulatih dalam proses dan kami perlu selesaikan pendaftaran dulu selepas itu pergi kepada (dapatkan) pemain, mungkin dalam Januari atau Februari,” katanya.