Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei tekad untuk terus bekerja keras bagi melonjakkan prestasi mereka menjadi gandingan yang memiliki pakej lebih lengkap.
Pasangan nombor tujuh dunia itu terpaksa akur terlepas gelaran Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China selepas tewas di tangan gandingan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set 17-21, 21-17, 11-21 pada aksi final, hari ini.
Sze Fei berkata biarpun tidak berjaya muncul juara tetapi banyak pengajaran yang boleh diambil pada aksi final berkenaan untuk meningkatkan lagi kualiti permainan mereka.
“Secara jujur ini adalah di luar jangkaan kami.”Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pasukan kami yang bekerja keras dan tanpa sokongan daripada penyokong mungkin sukar untuk kami melangkah sejauh ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Di sebalik kekalahan itu, Izzuddin-Sze Fei yang bakal melonjak ke ranking ketiga dunia dan mengambil alih status selaku beregu lelaki nombor satu Malaysia daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik tetap masih boleh berbangga dengan pencapaian mereka dalam saingan musim ini.
Pasangan itu sebelum ini berjaya merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia – Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.
Izzuddin memberikan markah 10/10 kepada dirinya dan Sze Fei susulan pencapaian mereka sepanjang musim ini.
“Musim ini sangat baik untuk kami, kami sudah mencapai apa yang tidak dapat kami capai sebelum ini. Diharapkan, kami akan terus menghasilkan keputusan yang lebih baik tahun depan,” kata Izzuddin.
sumber:- BH
Dengan pencapaian di Hangzhou, Izzuddin-Sze Fei pastinya hadir sebagai pencabar utama kejuaraan pada Terbuka Malaysia dari 7 hingga 12 Januari depan di Arena Axiata, Bukit Jalil.