sukan

Salah pastikan rekod 100 peratus Liverpool di Liga Juara-Juara

Liverpool mengekalkan rekod 100 peratus dalam Liga Juara-Juara musim ini dengan kemenangan 1-0 di Girona awal pagi tadi, gol tunggal hadir menerusi penalti Mohamed Salah pada babak kedua.

Kemenangan keenam dalam enam perlawanan mengekalkan Liverpool di tangga teratas peringkat liga dengan 18 mata, manakala Girona kekal dengan tiga mata di tangga ke-30.

Girona mengalami kekalahan kelima mereka dalam pertandingan itu tetapi memaksa Liverpool bekerja keras untuk merakam kemenangan dan pada babak pertama berpeluang untuk mendahului tetapi digagalkan oleh kecekapan penjaga gol pelawat, Alisson Becker.

Liverpool bergelut menentang pasukan yang suka bertahan dan menyerap asakan sebelum melakukan serangan balas pantas, namun berjaya memecah kebuntuan menerusi tendangan penalti dengan Salah menyempurnakannya pada minit ke-63 selepas Luis Diaz dikasari.

Girona bertahan pada awal permainan susulan tekanan Liverpool, dengan pelawat mencipta dua peluang awal.

Pemain pertahanan Joe Gomez dinafikan gol pertama buat Liverpool apabila tandukannya dari jarak dekat diselamatkan penjaga gol Paulo Gazzaniga, yang turut menyelamatkan percubaan Darwin Nunez beberapa minit kemudian.

Girona lebih suka untuk membuat serangan balas pantas dan penjaga gol Liverpool, Alisson, yang melakukan penampilan pertamanya sejak awal Oktober susulan kecederaan hamstring, tampil untuk menyelamatkan keadaan.

Daley Blind terlepas satu hantaran lintang di penjuru kotak penalti tetapi bola singgah di kaki Alejandro Frances dan Alisson menyelamatkan percubaan keduanya dan kemudian menumbuk keluar rembatan Miguel Gutierrez.

Satu lagi percubaan Nunez turut diselamatkan selepas menerima lorongan cantik Salah dan Girona membalas dengan satu rembatan dari luar kawasan penalti oleh Yaser Asprilla yang ditumbuk keluar Alisson untuk sepakan sudut, ketika Girona semakin kelihatan yakin.

Alisson sekali lagi terbabit pada awal babak kedua, menyelamatkan percubaan Arnaut Danjuma dan Liverpool bergelut untuk memecah kedegilan benteng Girona sebelum kekasaran Donny van de Beek ke atas Diaz memberikan Salah peluang menerusi sepakan penalti.

Salah terlepas penalti ketika aksi terakhir Liverpool dalam Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, tetapi tidak melakukan kesilapan mengelirukan penjaga gol apabila rembatannya menerjah jaring penjuru bawah.

sumber:- BH

Girona tidak kelihatan mampu mencari gol penyamaan dengan Liverpool mengekalkan penguasaan bola lebih baik berbanding babak pertama dan meninggalkan Estadi Montilivi dengan tiga mata penuh. – REUTERS