Ketua jurulatih baharu yang bakal mengemudi Harimau Malaya selepas ini wajib memiliki keupayaan yang lebih baik daripada Kim Pan Gon dan Pau Marti Vicente.
Pan Gon yang meletak jawatan pada Julai lalu selepas dua tahun setengah membimbing Harimau Malaya berjaya membawa skuad negara mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit selepas 42 tahun.
Selepas itu, Vicente dilantik menggantikan Pan Gon dengan menjuarai Pestabola Merdeka 2024 pada September lalu menjadi pencapaian terbaik pengendali dari Sepanyol itu.
Vicente pada Khamis lalu bagaimanapun mengumumkan akan meninggalkan Harimau Malaya selepas saingan Piala ASEAN 2024 dengan barisan kejurulatihan yang baharu akan mengemudi skuad negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya yang akan datang wajib meraih pencapaian lebih baik daripada Pan Gon dan Vicente.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menjangkakan jurulatih baharu itu juga berdepan cabaran besar terutama akan mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2027, Mac tahun depan.
“Saya fikir bukan sahaja perlu, malah wajib lebih baik (daripada Pan Gon dan Vicente). Kalau lebih baik daripada Pan Gon dan Vicente, harganya pasti mahal. Tapi kata nak buat revolusi dan kerajaan sudah bagi dana, kita mesti cari yang terbaik walaupun mahal.
“Jurulatih baharu berdepan cabaran untuk mempersiapkan pasukan bagi kelayakan Piala Asia 2027. Tempoh lebih kurang tiga bulan ini cabaran yang dahsyat buat jurulatih baharu, namun apabila dia ambil tawaran, maknanya dia bersedia dengan cabaran itu,” katanya kepada BH Sukan.
Beberapa nama termasuk bekas pengendali Mesir, Carlos Queiroz dan bekas ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann serta bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari dikaitkan dengan jawatan pengendali Harimau Malaya.
Segala spekulasi itu bagaimanapun hanya akan terjawab selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan struktur baharu pengurusan Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Selain itu, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjelaskan jurulatih baharu Harimau Malaya perlu memiliki beberapa ciri termasuk terbukti memiliki ilmu yang tinggi dan memahami budaya bola sepak Asia serta Malaysia.
“Jurulatih baharu bukan sahaja boleh melatih dan membawa pasukan kita ke tahap lebih baik, tapi dia juga mesti datang selaras dengan hasrat struktur baharu yang nak merevolusikan Harimau Malaya.
“Dia mesti pernah teruji membawa pasukan kebangsaan mana-mana negara dan menjadi juara dalam mana-mana kejohanan selain memiliki sentuhan ajaib untuk meningkatkan pasukan Harimau Malaya.
sumber:- BH
“Selain itu dia juga perlu faham budaya bola sepak Asia dan budaya bola sepak Malaysia. Kalau dia tak tahu budaya kita payah juga,” katanya.