Pengunduran barisan ketua jurulatih skuad kebangsaan yang diketuai Pau Marti Vicente memberi isyarat jelas bahawa akan berlaku perubahan besar dalam pasukan Harimau Malaya selepas ini.
Struktur baharu skuad kebangsaan bakal diumumkan bulan ini dengan Vicente dalam kenyataan semalam memaklumkan ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu akan dilantik untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027 tahun depan.
Situasi itu turut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air mengenai siapa yang bakal mengambil alih tempat Vicente untuk mengemudi Harimau Malaya.
Muncul juga spekulasi dengan mengaitkan nama dua bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora dan Esteban Solari sebagai antara calon yang bakal mengisi kekosongan itu.
Mora tidak asing lagi dengan bola sepak Malaysia selepas bersama Harimau Selatan antara tahun 2015 hingga 2022 dengan dia pernah membimbing pasukan JDT dan JDT II.
Solari turut memiliki rekod baik bersama JDT apabila berjaya membawa pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih pada musim lalu.
Semua spekulasi itu masih belum terjawab dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga masih berahsia mengenai struktur baharu skuad kebangsaan.
Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin turut meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi daripada badan induk itu yang akan dibuat dalam masa terdekat.
“Perkara itu FAM akan membuat pengumuman rasmi dalam masa terdekat, maksudnya dalam bulan ini juga. Kita sedang memuktamadkan sedikit lagi, nanti kita akan umumkan struktur baharu itu,” kata Hamidin.
Selain spekulasi calon bagi jawatan ketua jurulatih, bekas pemain Everton dan Australia, Tim Cahill turut dikaitkan bakal berada dalam struktur baharu Harimau Malaya.
sumber:- BH
Sementara itu, bekas pengendali Kedah Darul Aman, Nafuzi Zain pula dikatakan bakal berada dalam barisan kejurulatihan skuad bawah 23 tahun negara.