Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto berharap anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dapat mengakhiri badi kekalahan di tangan beregu China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong andai ditakdirkan bertemu lawan itu pada saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember ini.
Nova berkata, ia adalah peluang terakhir buat pasangan negara yang menghuni ranking kelapan dunia itu untuk sekurang-kurangnya merekodkan satu kemenangan ke atas juara Olimpik Paris 2024 berkenaan selepas Si Wei bakal ‘menggantung raket’ sebaik tamat kejohanan akhir musim itu.
Katanya, dengan Si Wei-Ya Qiong sudah lama tidak beraksi dalam kejohanan selepas tamat Olimpik Paris, ia adalah peluang keemasan untuk Tang Jie-Ee Wei menewaskan mereka.
Sebagai rekod, Tang Jie-Ee Wei tewas dalam semua empat pertemuan dengan Si Wei-Ya Qiong termasuk pertemuan terakhir di Kejohanan Badminton Asia, April lalu.
“Sebelum ini, ada berita Si Wei akan bersara. Jadi, saya harap Tang Jie-Ee Wei boleh menang ke atas Si Wei-Ya Qiong kalau bertemu mereka di Jelajah Dunia Akhir kali ini.
“Mungkin ini kejohanan terakhir buat Tang Jie-Ee Wei untuk kalahkan mereka kerana pasangan ini sahaja yang belum mereka dapat tewaskan dalam pertemuan sebelum ini,” katanya.
Nova turut berharap Tang Jie-Ee Wei dapat melangkah ke separuh akhir di Hangzhou sekali gus memperbaiki pencapaian mereka pada edisi tahun lalu.
“Tahun lepas mereka tidak melepasi peringkat kumpulan tetapi kali ini sasaran saya adalah lepas ke separuh akhir dahulu. Saya tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.
sumber:- BH
“Dari segi prestasi beregu China, mereka mungkin terlalu konsisten kerana dalam satu kejohanan ada kala terdapat empat (wakil) tapi kita pun sudah beberapa kali ada kalahkan wakil mereka. Jadi kalau semuanya dalam keadaan baik, saya rasa kita ada peluang untuk kalahkan mereka lagi,” kata Nova.