Impian untuk melihat Selangor FC melebarkan sayap di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) boleh dikatakan lebur walaupun mencatatkan kemenangan besar menentang kelab Filipina, Cebu FC 4-0 di Stadium Rizal Memorial, Manila, sebentar tadi.
Hal ini kerana, Selangor FC terlepas peluang sekurang-kurangnya mengakhiri saingan kumpulan H di tempat kedua selepas wakil kelab Thailand Muangthong United berjaya mengalahkan Jeonbuk FC 1-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Selangor yang hadir ke Manila dengan membawa misi wajib menang mendahului babak pertama hasil ledakan Yohandry Orozco pada pada minit ke-44.
Hanya tiga minit selepas bersambung babak kedua, Orozco menggandakan kelebihan buat Gergasi Merah sebelum Nooa Laine menyumbang gol ketiga pada minit ke-56.
Alvin Fortes kemudian melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Katsuhito Kinoshi apabila meledak gol keempat pada minit ke-79.
Ia kemenangan pertama Kinoshi sebagai ketua jurulatih Selangor selepas tewas kepada Muangthong United dan Sri Pahang dalam dua aksi awal bersama kelab itu.
Bagaimanapun, kemenangan itu boleh dianggap situasi suka dalam duka dialami Kinoshi kerana skuad kendaliannya tersingkir di peringkat kumpulan ACL2.
Tiket ke pusingan 16 terakhir menjadi rebutan antara Selangor dan Muangthong United selepas satu lagi tiket bagi Kumpulan H sudah ditempah lebih awal oleh Jeonbuk.
Jeonbuk muncul juara kumpulan dengan mengumpul 12 mata, satu mata mengatasi Muangthong United di kedudukan kedua, manakala Selangor menghimpun 10 mata.
sumber:- HM
Ia juga menjadi satu lagi detik malang buat Gergasi Merah selepas tersingkir awal daripada Piala Malaysia apabila tewas dengan agregat 2-3 kepada Sri Pahang di pusingan 16.