sukan

Komen Juan Muniz isu kad kuning yang dilayangkan terhadapnya

Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz terkejut selepas dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Arab Saudi, Khalid Saleh Alturais pada pertembungan menentang Buriram United yang berkesudahan seri 0-0 dalam aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Layangan kad itu menyebabkan dia digantung satu perlawanan dan tidak akan beraksi menentang kelab dari Australia, Central Coast Mariners di Stadium Kumpulan Industree, New South Wales, Australia 11 Februari tahun depan.

Malah dia juga mendedahkan terpaksa menahan kesakitan selepas giginya patah akibat disiku pemain Buriram United pada pertembungan itu dua kelab terbaik di rantau Asia Tenggara.

“Saya dilayangkan kad kuning tanpa sebarang amaran dan saya mahu memberi sebarang komen mengenai mutu pengadilan dalam perlawanan itu. Kami mempunyai skuad yang besar dan sahaja pemain yang bakal menggalas tugas di posisi tengah pada aksi seterusnya,” katanya.

Pemain kelahiran Sepanyol itu mengakui kad merah yang dikenakan terhadap Murilo Henrique pada awal babak pertama mengubah corak permainan tatkala perlu berdepan barisan pemain Buriram United FC yang begitu rakus memberi tekanan dalam tempoh 25 minit permainan.

“Kad merah mengubah segalanya tetapi kami berjaya mengimbangi semula permainan pada babak kedua permainan dan kami mempunyai peluang untuk mencipta jaringan cuma nasib tidak menyebelahi kami, apa pun satu mata yang diraih sudah memadai.

“Ada baki dua perlawanan lagi dan perlawanan di Australia nanti amat penting bagi kami dan harus meraih tiga mata di sana dan jika perancangan berjalan lancar kami semakin hampir untuk layak ke peringkat seterusnya dan itu adalah sasaran kami,” katanya.

Pemain berusia 32 tahun yang di bawa masuk ke skuad Harimau Selatan bagi menggantikan posisi Leandro Velazquez berterima kasih kepada penyokong yang menjadi pembakar semangat dan motivasi kesemua barisan pemain mengharungi kempen ACLE.

sumber:- HM

“Penyokong sentiasa memenuhi stadium pada aksi ACLE malah mereka memberikan kami semangat kerana mereka umpama pemain ke-12 dan kami dapat merasainya dan terima kasih kepada semua penyokong,” ujarnya.