sukan

“Amat membanggakan apabila mereka turun beraksi ” — Bergson

Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva yang meledak dua gol bagi membantu pasukan itu menang besar 6-0 ke atas Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) mahu rentak kemenangan yang diraih diteruskan sehingga layak ke pentas final Piala Malaysia musim ini.

Jelas Bergson, selepas dua aksi menentang skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail yang menyaksikan JDT mara ke suku akhir dengan agregat 9-0, barisan pemain yang beraksi dalam perlawanan itu menunjukkan kesungguhan mengekalkan momentum kemenangan.

“Walaupun saya menjaringkan dua gol tapi tidak meletak sebarang sasaran untuk muncul penjaring terbanyak sebaliknya akan terus menjalani latihan setiap hari bagi membentuk persefahaman yang lebih jitu dengan rakan sepasukan.

“Iya kita layak ke suku akhir dan saya tidak mahu memikirkan siapa lawan JDT sama ada Kedah (Darul Aman FC) atau KL (City FC) dan kami perlu bersiap sedia dengan lebih mantap malah akan beraksi satu demi satu perlawanan kerana apa yang kami utamakan sudah tentu mahu fokus kepada persiapan diri sendiri dan kemudian baru memikirkan apa yang dilakukan apabila beraksi di padang,” katanya.

Di tanya mengenai kelibat pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Muhamad Alif Abdul Mutalip, Danish Hakimi Sahaludin, Fakrul Haikal Razali, Gabriel Nistelrooy dan Daryl Sham KM George yang diturunkan beraksi dalam perlawanan itu, Bergson nyata memuji kelibat barisan pemain muda yang mempamerkan aksi terbaik.

“Amat membanggakan apabila mereka turun beraksi kerana kami lihat betapa kerja keras mereka dalam sesi latihan dan ia memberi pendedahan terbaik bergandingan bersama pemain senior dan berharap mereka terus meningkatkan lagi kualiti permainan untuk berada dalam skuad utama,” kata Bergson.

Sementara itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio akan memperkemaskan lagi set piece terutama sepakan sudut selepas pasukan itu yang memperoleh 15 sepakan sudut namun kesemuanya tidak dimanfaatkan dengan jaringan gol.

Katanya, setiap set piece sama ada sepakan sudut atau sepakan percuma amat penting dalam permainan bola sepak tatkala menerusi perancangan itu mampu menghadirkan kemenangan malah pemain sudah bekerja keras untuk mencipta set piece dalam perlawanan itu.

“Kami sentiasa memperkemaskan set piece ketika sesi latihan dan perlu meneruskan usaha bagi setiap pemain mempertajamkan lagi perancangan itu. Namun inilah bola sepak kerana bukan mudah menjaringkan gol menerusi situasi itu.

sumber:- HM

“Kami dibarisi pemain yang mampu untuk menanduk bola dan melakukan rembatan ke gawang gol dan ada ketika apa yang dirancang tidak menjadi, justeru kami harus mempertingkatkan lagi latihan untuk persiapan aksi seterusnya,” kata Bidoglio.