Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim individu paling layak menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai Presiden pada pemilihan Kongres FAM, awal tahun depan.
Perkara itu diluahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar yang mengakui menyokong penuh kepimpinan Tunku Ismail dalam usaha merevolusikan bola sepak tanahair secara total sekali gus meningkatkan mutu permainan pasukan kebangsaan.
Katanya, perebutan ‘kerusi panas’ dengan pelbagai khabar angin mengaitkan beberapa individu untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang dijangka tidak mempertahankan jawatan Presiden boleh ditamatkan, jika Tunku Ismail kembali memimpin FAM.
Ujarnya, kejayaan JDT di pentas domestik dan antarabangsa serta kemudahan stadium berkelas dunia dimiliki skuad Harimau Selatan menunjukkan betapa Tunku Ismail mempunyai ‘passion’ yang tinggi dalam bola sepak.
Lantas, dengan kesemua ramuan itu ditambah hubungan baik dengan semua pihak terutamanya Kerajaan, diyakini revolusi yang sedang dirancang boleh direalisasikan dalam tempoh lima tahun ini.
“Saya fikir, tokoh paling sesuai adalah Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk kembali ke FAM sebagai Presiden. Tunku Ismail dah lama buktikan menerusi kejayaan demi kejayaan dilakar JDT.
“Bagi saya ini waktu sesuai untuk beliau kerana saya melihat banyak bentuk sokongan boleh diraih dan dimanfaatkan pasukan negara, dan Ayahanda Tunku Ismail juga Yang Dipertuan Agong ketika ini.
“Terus terang, komitmen Tunku Ismail cukup tinggi dan kita dapat lihat apa yang sudah ada di JDT ketika ini. Stadium berkelas dunia, pusat latihan moden dan barisan pemain dan kemudahan Sains Sukan di JDT, menunjukkan ‘passion’ Tunku Ismail yang luar biasa.
“Malah, Tunku Ismail juga sedang merancang untuk membuat perubahan besar kepada sistem skuad kebangsaan. Jadi bagi saya, kita sebagai ahli gabungan FAM perlu menyokong Tunku Ismail dengan mencadangkan untuk dilantik sebagai Presiden,” katanya kepada Arena Metro.
Untuk rekod, Tunku Ismail pernah dilantik sebagai Presiden FAM dari 2017 hingga 2018 lalu.
Terdahulu, dikhabarkan suhu pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) makin ‘panas’ apabila difahamkan seorang wakil daripada ahli gabungan badan induk itu sedia merebut jawatan Presiden FAM.
Menurut sumber boleh dipercayai, individu terbabit yang berpangkalan di Lembah Klang akui bersedia mencabar Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang dikaitkan bakal menggantikan Hamidin.
Nama Joehari dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA) pada Ahad lalu.
Menurut Syed Yazid lagi, beliau berharap tiada tindakan lobi melobi untuk mendapatkan mana-mana jawatan dalam FAM nanti.
sumber:- HM
“Sesiapa pun boleh bertanding. Kita serahkan kepada ahli gabungan untuk menilai dan membuat pilihan. Jangan awal-awal dah melobi untuk apa-apa jawatan. Biarlah yang betul-betul mampu buat kerja menerajui FAM,” katanya.