sukan

TERKINI: Keputusan aksi Selangor berdepan Muangthong United di ACL2

Selangor FC (SFC) memilih jalan sukar untuk mengesahkan slot ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) selepas tewas 1-2 di tangan Muangthong United pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Ini menyaksikan pengendali baharu SFC, Katsuhito Kinoshi membuka kempennya di SFC dengan langkah kiri dan perlu menewaskan Cebu FC sambil mengharapkan Jeonbuk Hyundai Motors sekurang-kurangnya mengikat Muangthong United pada aksi terakhir, 5 Disember nanti.

Pada aksi terbabit, SFC bermula dengan garang di mana mereka memaksa Kittipong Phoothawchuek menyelamatkan tandukan pemainnya pada minit kelima namun asakan berterusan membolehkan mereka mendapat gol pembukaan seminit berselang.

Gerakan menarik daripada sebelah kiri membolehkan Quentin Cheng melepaskan satu rembatan deras untuk menewaskan Kittiphong bagi kedudukan 1-0 buat tuan rumah.

Muangthong United mendapat peluang terbaik pada minit ketujuh menerusi Felicio Forbes namun rembatan leretnya ditangkap kemas Azim Al-Amin.

SFC lebih banyak melepaskan percubaan pada babak pertama namun percubaan tidak tepat menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat 45 minit pertama.

Bersambung babak kedua, Muangthong United akhirnya mendapat gol penyamaan yang diburu menerusi penyudah jarak dekat Forbes pada minit ke-54.

Muangthong United boleh dianggap bernasih baik apabila tidak dibolosi selepas percubaan Ronnie Fernandez pada minit ke-65 dan Alvin Fortes dua minit berselang sekadar terkena tiang.

Kegagalan SFC menyudahkan peluang membolehkan Muangthong United terus ‘bernafas’ dan SFC dihukum dengan gol kedua Muangthong United pada minit ke-76 hasil penyudah Poramet Arjvillai.

sumber:- BH

SFC terus dilanda malang apabila kali ini, percubaan Safuwan Baharudin pada minit ke-82 juga terkena tiang dan bola dapat ditangkap Kittipong.