Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaikan sebelah kaki layak ke suku akhir selepas menewaskan pasukan Liga A1 Semi-Pro, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini, petang tadi.
Apapun JDT perlu mengharungi aksi kedua piala berprestij itu apabila akan menerima sekali lagi kunjungan skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail bagi mengesahkan laluan ke suku akhir saingan itu pada 30 November ini.
Dalam perlawanan itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio membuat rombakan di posisi sayap kanan selepas Arif Aiman Hanapi dikenakan penggantungan tiga perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan mempertaruhkan pemain Johor Dariul Ta’zim II (JDT II), Muhamad Alif Abu Mutalib di posisi berkenaan.
Malah pengendali kelahiran Argentina itu juga menurunkan dua lagi pemain JDT II, Ahmad Asyar Hadi Mohd Shapri dan Daryl Sham KK George selain kelibat Safiq Rahim yang memakai lilitan kapten pada perlawanan itu.
KL Rovers hampir mengejutkan JDT pada minit ke-11 selepas bola sepakan lintang Shahrul Amin Nasharuddin berjaya ditanduk Amirul Husaini Zamri namun penjaga gol, Christian Abad Amat sempat menepis bola.
Selepas mengasak bertubi-tubi, akhirnya gol yang diburu JDT menjelma pada minit ke-26 apabila bola sepakan percuma Heberty Fernandes dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan untuk Ahmad Asyraaf Omar.
Selang tiga minit, JDT menambah jaringan menerusi rembatan cantik Heberty yang melakukan sepakan akrobatik bagi menyudahkan bola sepakan lintang Corbin Ong untuk meletak skuad Harimau Selatan selesa mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, Bidoglio yang kurang berpuas hati tatkala anak didiknya hanya mampu menjaringkan dua gol pada babak pertama mula memasukkan Jese Rodriguez dan Jorge Obregon dalam usaha mempertajamkan lagi barisan serangan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila JDT terus mengasak ke kubu KL Rovers dan pada minit ke-72 hasil umpanan Romel Morales menyaksikan Heberty yang tidak dikawal merembat bola dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kiri gol bagi melengkapkan jaringan hatrik pada perlawanan itu.
sumber:- BH
Jaringan hatrik Heberty itu membolehkan JDT berada di landasan terbaik untuk menempatkan diri ke peringkat suku akhir selepas menang 3-0 ke atas skuad kendalian Wan Mustaffa.