sukan

Kehilangan Ronnie Fernandez akhirnya terjawab

Kehilangan penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez akhirnya terjawab apabila ayam tambatan itu disediakan untuk aksi berdepan jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai di Stadium Piala Dunia Jeonju, Khamis ini.

Perkara itu disahkan pengendali interim Selangor FC, Abdi Hassan yang mengakui ketiadaan Fernandez khususnya ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Sabtu lalu adalah disebabkan sistem penggiliran.

Abdi berkata, peledak utama kelahiran Chile itu direhatkan bagi membolehkan pemain itu benar-benar cergas sebelum terbang ke Korea Selatan untuk aksi keempat Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) itu.

“Penggiliran (ketiadaan Fernandez ketika menentang KDA FC)…kita sedang tempuh jadual perlawanan yang besar,” katanya yang baharu seminggu mengendalikan pasukan selepas Nidzam Jamil mengumumkan peletakkan jawatan minggu lalu.

Jelasnya lagi, bukan sahaja Fernandez malah beberapa tonggak lain seperti Alvin Fortes juga perlu dipersiapkan selepas mengalami kecederaan sebelum ini.

“Kita sedang usahakan agar semua pemain dapat kembali cergas dan pulih daripada kecederaan…ada yang ACL (kecederaan ACL) dan ada juga yang digantung perlawanan.

“Jadi kami perlu tampil lebih kreatif untuk mengatasi sekali gus bersiap sedia untuk aksi berikutnya,” katanya yang sebelum ini membimbing skuad Selangor FC II dalam kancah Piala MFL.

Ketika ini, Red Giants sedang memimpin carta Kumpulan H dengan tujuh mata selepas tiga aksi setakat ini.

Kemenangan paling dramatik sudah tentunya ketika menumbangkan Jeonbuk Hyundai 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 23 Oktober lalu.

sumber:- HM

Jika mampu melakar kemenangan pada Khamis ini, Selangor FC sah akan mara ke pusingan berikutnya biarpun masih memiliki dua baki aksi bertemu Muangthong United dan Cebu FC selepas ini.