DSAT Group Sdn Bhd melalui anak syarikatnya Mahsuri Medical Centre (MMC) di Jitra mengemukakan cadangan untuk mengambil alih kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang kini masih menanti pembeli yang bersesuaian terhadap keseluruhan kepentingan yang ditanggung kelab berkenaan.
Perkembangan itu merujuk kepada satu kenyataan media tular di media sosial daripada pihak MMC yang mendapat arahan daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Azizul Tandek yang menyatakan minat pengambilalihan 100 peratus saham KDA FC serta liabiliti kelab berkenaan.
“Pada 3 November 2024, pihak MMC dengan diwakili Ketua Pegawai Operasi, Nazar Ahmad Md Noor menyerahkan surat tawaran untuk pengambilalihan KDA FC.
“Ini adalah berikutan pertemuan pada 24 Oktober 2024 di antara Azizul dengan Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din, yang juga seorang pemegang saham KDA FC.
“Pihak KDA FC diminta memberi maklum balas dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat itu,” menurut surat yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Dr Zaki Zamani Abd Rashid bertarikh hari ini.
Turut difahamkan melalui sumber lain, Azizul merancang menaikkan taraf hospital berkenaan ke tahap hospital swasta terbaik dan berpendapatan tinggi dalam tiga tahun agar mampu menjana sumber pendapatan buat KDA FC pada masa akan datang.
Menurut maklumat berkenaan, terdapat banyak lagi syarikat yang akan dimiliki oleh KDA FC sekiranya DSAT Group berjaya mengambil alih KDA FC dan ini akan memacu sumber kewangan kelab itu sendiri dan tidak hanya berharap kepada tajaan mana-mana syarikat termasuk dari bantuan kerajaan negeri.
sumber:- BH
Cadangan pengambilalihan KDA FC ini lahir dari keikhlasan dan niat dari pemilik saham atas dasar rasa tanggungjawab pada rakyat dan negeri Kedah.