Pemain beregu wanita negara, M Thinaah menyifatkan perayaan Deepavali tahun ini sebagai amat istimewa berikutan ia dapat disambut di tanah air bersama keluarga.
Apa tidaknya, disebabkan jadual padat pertandingan di luar negara, pemain kelahiran Klang, Selangor itu akhirnya kembali berpeluang meraikan perayaan utama masyarakat India itu di Malaysia selepas tujuh tahun.
Pada tahun ini, tiada pertindihan kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bersama perayaan itu dengan kejohanan terakhir sebelum Deepavali yang disambut pada Khamis ini adalah Terbuka Denmark pada 20 Oktober.
“Apa yang istimewa pada tahun ini adalah selepas enam atau tujuh tahun saya tidak merayakan Deepavali di rumah, kali ini saya dapat menyambutnya dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Selalunya pada tahun-tahun sebelum ini, saya sama ada akan menyambutnya sebelum atau selepas Deepavali dan membuat panggilan video kepada keluarga tetapi kali ini tarikhnya kena tepat ketika saya berada di Kuala Lumpur.
“Jadi saya memang amat bersyukur. Untuk sambutan kali ini, saya akan bangun tidur lebih awal dan melakukan upacara di rumah dan kuil. Kemudian kami sekeluarga akan berkumpul,” kata pemain berusia 26 tahun yang bergandingan dengan Pearly Tan.
Mengimbau kenangan meraikan Deepavali di perantauan, Thinaah yang mengisi ranking ketujuh dunia berkata sambutan Deepavali pada 2022 di Perancis boleh dianggap sebagai antara paling istimewa.
“Di Perancis saya menyambut Deepavali bersama rakan-rakan, kami menikmati makanan dan saya juga memakai pakaian baharu. Tetapi apa yang istimewa adalah kami turut memenangi Terbuka Perancis.
sumber:- BH
“Jadi perasaannya berbeza dan sekalipun melakukan pengorbanan tetapi ia rasa berbaloi,” kata Thinaah yang menamatkan saingan Olimpik Paris 2024 di kedudukan empat terbaik.