ATLET seni bela diri campuran (MMA) kelahiran Gvardeyskoye, Chechnya, Khamzat Chimaev simpati dan memohon maaf kepada Robert Whittaker kerana mencederakan petarung asal New Zealand itu semasa kedua-duanya berentap di pentas UFC 308 pada awal pagi Ahad.
Dalam pertarungan kelas middleweight yang berlangsung di Arena Etihad, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu, Khamzat tampil dominan dan memanfaatkan skil gustinya untuk mengalahkan Whittaker pada minit ketiga, 34 saat dalam pusingan pertama.
Meskipun beberapa kali cuba melepaskan diri, Khamzat langsung tidak memberi ruang kepada Whittaker untuk berdiri sebelum melepaskan tumbukan rendah bertubi-tubi dan mengunci rahang sehingga lawannya itu menyerah kalah.
Selepas pertarungan berakhir, beberapa imej kecederaan mengerikan Whittaker dikongsi di media sosial.
Dalam gambar tersebut, jelas kelihatan beberapa batang gigi bekas juara middlewhite itu hancur, manakala rahangnya disyaki terkehel.
Mengulas kecederaan parah Whittaker, Khamzat berkata; “Saya sudah melihat gambar tersebut. Semasa berada di dalam Oktagon saya merasakan sesuatu yang pelik apabila saya menyentuh rahangnya.
“Saya tidak berniat mencederakannya tapi itulah tugas saya, mencederakan orang membuatkan saya gembira.”
Sebagai rekod, Khamzat dan Whittaker sepatutnya bertarung pada Jun lalu, namun Khamzat terpaksa menarik diri atas isu kesihatan.
Kemenangan ke atas Whittaker menyaksikan Khamzat, 30, melebarkan rekod bersihnya kepada 14-0.Malah, kemenangan itu mengukuhkan lagi reputasi Khamzat sehingga Presiden UFC, Dana White dikatakan mengubah fikiran untuk meletakkan jaguh Chechnya itu sebagai pencabar utama tali pinggang middleweight yang kini disandang petarung Afrika Selatan, Dricus Du Plessis.
sumber:- SH
Sebelum ini, Dana telah memberi bayangan bahawa Du Plessis sekali lagi bakal dicabar petarung Amerika Syarikat, Sean Strickland dalam pertarungan ulangan.