sukan

Ranking Malaysia selepas dibelasah New Zealand

Kekalahan 4-0 di tangan New Zealand menyaksikan Harimau Malaya jatuh satu anak tangga dalam ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menerusi kemas kini ranking FIFA yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente berada di tangga ke-133 berbanding 132 sebelum ini.

“Kemas kini terbaharu ranking FIFA hari ini, Malaysia di tangga 133 dunia, turun satu anak tangga berbanding 132 pada kemas kini terdahulu, 19 September 2024.

“Kemas kini seterusnya 28 November 2024,” kata FAM di laman Facebook badan induk bola sepak tempatan itu.Pada jendela aksi antarabangsa bulan ini, skuad negara sekadar mengharungi satu perlawanan persahabatan antarabangsa bertaraf Tier 1, dengan satu lagi aksi menentang kelab New Zealand, Auckland FC yang berstatus Tier 2.

Ketika menentang Auckland FC, Malaysia seri 1-1 dengan gol tunggal dijaringkan Nooa Laine.

Selepas itu, anak buah Vicente tumbang 4-0 kepada New Zealand dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium North Harbour, Auckland.

sumber:- BH

Pada jendela aksi antarabangsa November ini, pasukan kebangsaan akan bertemu India yang berada di ranking ke-125 dunia.