Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menegaskan kekalahan 3-1 kepada Gwangju FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bukanlah pengakhiran buat pasukannya.
Bidoglio tampak tenang walaupun hasrat untuk membawa pulang tiga mata dari Stadium Yongin Mireu, tidak kesampaian apabila dua gol awal Jasir Anani dalam tempoh enam minit permainan bagaikan menggugat perancangan skuad Harimau Selatan.
“Kami cuba bangkit dengan jaringan Feroz (Baharudin) dan menguasai permainan tapi gol sendiri Park (Jun-heong) terus menutup peluang untuk mencari sekurang-kurang keputusan seri. Namun saya enggan salahkan mana-mana pemain sebaliknya nasib tidak menyebelahi JDT.
“Ia perlawanan yang sukar tetapi saya berpuas hati dengan persembahan pemain saya. Pasukan lawan berjaya mendapatkan gol awal tetapi kami tidak hilang fokus dan mengekalkan penguasaan bola.
“Apa yang boleh saya katakan keputusan di babak pertama selepas ketinggalan 2-1 tidak menggambarkan keseluruhan permainan JDT.
“Di babak kedua, kami menggerakkan bola dari kiri ke kanan namun sukar menembusi benteng lawan. Cuma saya gembira pemain JDT kerap beri tekanan terhadap pasukan lawan,” kata Bidoglio dalam sidang media selepas perlawanan.
Pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan, mereka akan terus memperkemaskan taktikal permainan dan optimis akan memberikan persembahan berkualiti untuk berdepan pasukan bertaraf elit di peringkat Asia.
Beliau juga enggan menyalahkan individu yang menjadi penyebab JDT gagal meraih sebarang mata dalam perlawanan itu sebaliknya menganggap apa yang terjadi tidak boleh dielak.
sumber:- BH
“Ini adalah saingan ACLE yang begitu kompetitif dan semua pasukan yang kami hadapi adalah sukar. Kami perlu berkerja lebih keras selepas ini dan kami mempunyai skuad yang bagus untuk terus beri cabaran,” katanya.