Ketua Jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, mengakui terdapat sedikit ‘masalah komunikasi’ sehingga menyebabkan kekalahan skuad kendaliannya 0-1 kepada Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu menjelaskan, pasukannya merancang untuk bertahan dan menunggu peluang melakukan serangan balas, namun kesilapan pada minit terakhir babak pertama membuka ruang kepada skuad Tok Gajah mencetak gol tunggal perlawanan berkenaan.
“Kita memang rancang untuk bertahan di kawasan kita dahulu kerana kita tahu Sri Pahang mempunyai pemain berkualiti di bahagian tengah serta jentera serangan.
“Pada masa sama kita melakukan beberapa serangan balas untuk menghasilkan jaringan tetapi sedikit masalah komunikasi antara pemain membolehkan Pahang dapat jaringan hasil kesilapan kita sendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Sebagai rekod, kekalahan kelima itu meletakkan skuad Harimau Kumbang di tangga ke-11 liga dengan meraih dua kemenangan dan lima keputusan seri selepas mengharungi 12 perlawanan.
Tanpa berselindung, Akmal Rizal menyerahkan kedudukannya sebagai jurulatih untuk dinilai pihak pengurusan susulan perkembangan tidak menyenangkan itu sekali gus menyebabkan kehadiran penyokong ke stadium semakin berkurangan ketika ini.
“Saya mohon maaf kepada setiap penyokong kerana kami bermain untuk mendapatkan mata, menang dalam setiap perlawanan tetapi kegagalan kami menyebabkan prestasi serta kedudukan kami agak ke bawah sekarang ini.
“Saya tahu penyokong-penyokong juga kecewa kerana kita gagal lagi untuk menang di tempat sendiri selepas tiga perlawanan,” katanya.
Pengerusi Penang FC, Daniel Gooi melalui laman Facebook malam tadi memaklumkan, mesyuarat lembaga pengarah akan diadakan hari ini dan tindakan sewajarnya akan diambil susulan prestasi mengecewakan skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super musim ini.
Difahamkan, mesyuarat tergempar itu akan diadakan pada petang ini, bagaimanapun lokasi serta butiran lanjut mengenai mesyuarat berkenaan tidak didedahkan secara terperinci.
Bagi Akmal Rizal sendiri, beliau bersedia memperbaiki segala kekurangan dan kembali bangkit bersama barisan pemain jika diberi kepercayaan untuk terus membimbing pasukan oleh pihak pengurusan.
“Sekarang atas pihak persatuan pihak BOD (ahli lembaga pengarah) apa yang mereka rasa terbaik untuk pasukan dan saya sudah melakukan apa yang terbaik.
“Kita akan terus berjuang jika kepercayaan terus diberikan, saya pasti akan bersama pemain akan bangkit walaupun banyak kata-kata tidak baik, itu normal kerana kita gagal mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Jurulatih berusia 42 tahun itu berkata, beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas segala kesilapan yang menjadi punca prestasi hambar skuad Harimau Kumbang.
“Saya akan terus memikul segala kesilapan, kekurangan yang berlaku disebabkan diri saya sendiri. Saya telah memberikan apa yang saya mampu dan pemain telah mengikut setiap arahan yang diberikan.
“Jadi pemain dah bagi yang terbaik. Tidak ada sebarang rungutan kepada pemain cuma mungkin kegagalan yang berlaku sekarang atas kekurangan yang ada pada saya.
sumber:- HM
“Saya akan terus belajar dan akan bekerja keras untuk memastikan pasukan ini dapat menjadi pasukan lebih baik selepas ini,” katanya.