Skuad remaja negara terus kempunan mencari kemenangan pertama apabila tumpas 4-1 kepada Jepun dalam aksi Kejohanan Hoki Bawah 21 (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-12 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini, sebentar tadi.
Kekalahan kedua berturut-turut itu tampak menyukarkan laluan skuad I Vickneswaran untuk berada di kelompok empat pasukan terbaik dan menyukarkan laluan mereka memburu slot ke pentas final tatkala perlu berdepan India, Britain dan Australia yang pastinya berliku buat barisan pemain mudah negara.
Young Tigers terlepas peluang untuk membuka tirai jaringan biarpun meraih empat kali pukulan sudut penalti berturut-turut seawal minit ketujuh yang gagal disudahkan dengan sempurna Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof.
Skuad kendalian Yoshihiro Anai turut berpeluang mencipta jaringan pada minit kesembilan tapi Koyo Nishida gagal melakukan penyudah tepat menerusi pukulan sudut penalti.
Ketika aksi memasuki minit ke-16 suku kedua, gerakan menarik Nur Aqirullah Mohd Khairul Anwar yang mengumpan bola tepat kepada Muhammad Nabil Irfan yang tidak dikawal gagal melakukan penyudah tepat tatkala hanya berdepan penjaga, Kisho Kuroda.
Bersambung babak, ketika kedua-dua pasukan masih buntu mencipta jaringan, anak didik Vickneswaran berusaha untuk menguasai permainan dan berjaya memecah kebuntuan hasil gol padang Muhammad Adam Ashraf Mohd Johan pada minit ke-35 menewaskan Kuroda.
Namun kedudukan 1-0 tidak bertahan lama selepas pengadil menghadiahkan penalti pada minit ke-39 dan Hyota Yamada tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol, Mohamad Rafaizul Mohamad Sani untuk kedudukan 1-1.
Berpunca daripada kesilapan Mohamad Zulhanif Sahran yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-43, menyaksikan Neo Sato merampas bola sebelum mengumpan semula kepada Yuto Higuchi bagi menghasilkan gol padang menewaskan Mohamad Rafaizul.
Anak didik Anai menambah derita Young Tigers apabila kapten Yamato Kawahara menghasilkan gol padang untuk meletak Jepun selesa dengan jaringan 3-1 dan gol keempat pasukan Negara Matahari Terbit itu dihasilkan pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti Koyo Nishida.
Terdahulu, India tidak berdepan masalah untuk membenam naib juara tahun lalu, juara 2018 dan 2019, Britain 6-3 dan kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Sreejesh Parattu Raveendran mengmpul enam mata untuk berada tangga teratas kejohanan itu.
Sementara itu, pertembungan dua seteru Zon Ocenia dalam sukan hoki antara Australia dan New Zealand berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Keputusan
India 6 Britain 3
Australia 2 New Zealand 2
Jepun 4 Malaysia 1
Kedudukan
Pasukan P M S K J B Mata
India 2 2 0 0 10 5 6
New Zealand 2 1 1 0 5 4 4
Jepun 2 1 0 1 6 6 3
Britain 2 1 0 1 6 7 3
Australia 2 0 1 1 3 5 1
Malaysia 2 0 0 2 3 7 0
Jadual perlawanan 22 Oktober 2024
Jepun lwn Australia
jam 4.05 petang
New Zealand lwn Britain
jam 6.15 petang
Malaysia lwn India
8.35 malam
sumber:- BH
Semua perlawanan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru.