sukan

Keputusan aksi KL City berdepan Kelantan Darul Naim

Kuala Lumpur (KL) City memberikan hadiah bermakna buat barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) selepas menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) 3-1 pada aksi Liga Super, sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, KL City lebih banyak mengasak ke kubu KDN sepanjang babak pertama terutama menerusi percubaan kapten, Paulo Josue dan Haqimi Azim Rosli namun gagal menemui jaringan.

Sebaliknya, KDN yang kurang mencipta peluang berjaya meraih jaringan pembukaan pada minit ke-57 selepas tonggak import mereka, Washington Brandao menanduk masuk bola sepakan percuma Hakimi Abdullah.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan tujuh minit selepas penjaga gol KDN, Fikri Che Soh gagal menumbuk keluar bola sepakan sudut Josue, sekali gus membuka ruang buat Nicholas Swirad meledak gol penyamaan KL City.

Josue kemudian meletakkan skuad City Boys di depan apabila dia menanduk bola hantaran Ryan Lambert pada minit ke-80 untuk menewaskan Fikri buat kali kedua.

Pemain naturalisasi berusia 35 tahun itu terus cemerlang apabila melengkapkan kemenangan skuad Miroslav Kuljanac selepas menyudahkan umpanan Jovan Motika pada masa kecederaan.

sumber:- BH

Keputusan itu menyaksikan KL City naik dua anak tangga untuk berada di kedudukan keenam dengan mengumpul 14 mata, manakala KDN kekal di tangga kedua tercorot dengan menghimpun enam mata selepas mengharungi 12 perlawanan.