sukan

Pasukan bola sepak Nigeria ‘dikurung’ di Libya

Pasukan bola sepak Nigeria mendakwa mereka “ditahan” di sebuah lapangan terbang kecil yang terkunci tanpa akses kepada makanan, minuman, dan sambungan telefon.

Super Eagles dijadualkan beraksi menentang Libya dalam aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika malam esok.

Bagaimanapun, penerbangan yang mereka sewa terpaksa ditukar haluan dan mereka dihalang meninggalkan lapangan terbang dalam keadaan yang huru-hara dan membimbangkan.

Kini Nigeria menolak untuk bermain dalam perlawanan itu sebagai protes terhadap layanan yang buruk itu yang bermula sejak lebih dari 12 jam yang lalu.

Pemain yang berada di dalam skuad yang terkandas itu difahamkan termasuklah pemain Liga Perdana Wilfred Ndidi, Alex Iwobi, dan Taiwo Awoniyi – serta bekas pemain Leicester, Ademola Lookman dan Kelechi Iheanacho.

Ndidi meluahkan rasa marahnya dengan berkata: “Ini bukan bola sepak. Sangat memalukan. Menahan pasukan kebangsaan. Memalukan.”Penyerang Bayer Leverkusen, Victor Boniface, menambah: “Kami berada di lapangan terbang selama hampir 13 jam, tiada makanan, tiada wifi, tiada tempat untuk tidur. Afrika, kita boleh lakukan yang lebih baik.”

Dia juga berkongsi sebuah video di laman sosial X pada pukul 10.12 pagi waktu UK dari lokasi itu dan mendakwa mereka terperangkap di lapangan terbang selama 16 jam.

Nigeria mengalahkan Libya di tempat sendiri pada Jumaat dan sedang dalam perjalanan untuk perlawanan timbal balik di utara Afrika di Stadium Martyrs Benina, tidak jauh dari Benghazi, Libya.

sumber:- HM

Namun, pesawat mereka terpaksa bertukar haluan pada saat akhir yang didakwa atas arahan kerajaan Libya ke Lapangan Terbang Al-Abraq yang kecil yang terletak 150 batu dan memakan masa hampir empat jam untuk ke Benghazi dan biasanya digunakan untuk tujuan ketenteraan.