Pengendali New Zealand, Darren Bazeley mengesahkan dia akan membuat rombakan dalam kesebelasan utama bagi aksi persahabatan Tier 1 berdepan Malaysia di Stadium North Harbour, petang ini.
Namun Bazeley menegaskan itu tidak bermakna dia memandang rendah terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya yang ketika ini menghuni tangga ke-132 dunia berbanding New Zealand pada kedudukan ke-95 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Saya jangkakan akan ada perubahan tetapi bukanlah secara menyeluruh. Kita turun sebagai pasukan pilihan dan ini peluang terbaik untuk kita sebagai pasukan pilihan.
“Pasukan lawan datang dengan skuad yang besar dan kita perlu berikan persembahan yang terbaik di halaman dan penyokong sendiri,” katanya seperti dipetik menerusi laman sesawang Friends of Football.
Sebagai rekod, skuad ‘All Whites’ menang lapan daripada 12 pertemuan menentang skuad negara dan pertemuan terakhir pada 2006 menyaksikan mereka meraih kemenangan tipis 2-1.
Dalam perkembangan lain, Bazeley turut berpuas hati dengan keadaan padang di Stadium North Harbour yang berada dalam keadaan terbaik sekali gus membolehkan kedua-dua pasukan memperagakan corak permainan terbaik.
“Kita sudah melihat venue perlawanan dan padang berada dalam keadaan menakjubkan. Ia seperti karpet dan kami gembira dengan situasi ini.
sumber:- BH
“Tiada sebarang aduan untuk padang bagi perlawanan esok dan ini adalah padang yang sempurna untuk melangsungkan perlawanan bola sepak,” kata Bazeley.