sukan

Keputusan aksi Aaron-Wooi Yik berdepan beregu China

Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tampak tidak terkesan dengan rehat panjang apabila melepasi pusingan pertama Terbuka Artik di Vantaa, Finland, semalam.

Beregu lelaki utama negara itu sebelum ini terpaksa melupakan beberapa kejohanan utama termasuk Terbuka China susulan kecederaan retak tulang jari kaki kanan yang dihadapi Wooi Yik.

Diletakkan sebagai pilihan ketiga di Terbuka Artik yang berstatus Super 500 BWF (Persekutuan Badminton Dunia), pasangan ranking empat dunia itu hanya memerlukan aksi straight set untuk menundukkan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi.

Menentang Bo Yang-Liu Yi yang berada di ranking 21 dunia, Aaron-Wooi Yik tampak sedikit bergelut sebelum meraih kemenangan 21-18 pada set pertama.

Situasi sama berulang pada set kedua dengan kedua-dua beregu saling berbalas mata sebelum pasangan negara sekali lagi menang 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit.

Sebagai rekod, aksi yang berlangsung di Vantaan Energia Areena itu adalah penampilan sulung pertama pasangan berkenaan selepas Paris.

Sekalipun menghuni ranking keempat dunia, Aaron-Wooi Yik ketika ini perlu bekerja keras untuk menempatkan diri di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China.

sumber:- BH

Selepas tidak beraksi di beberapa kejohanan utama termasuk Terbuka Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan China sejak pulang dari Paris, pasangan itu ketika ini menghuni ranking ke-16 dalam pemburuan ke kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan AS$2.5 juta (RM10.7 juta) itu.